Tonggak Kedah akui penting awasi ancaman Baddrol, Tae-su


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Baddrol (kiri) dan Tae-su boleh dianggap sebagai antara tonggak utama Sang Badak musim ini. — Facebook/Sabah FC

BEK tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin waspada kelicikan bekas rakan sepasukan, Baddrol Bakhtiar yang pastinya tidak akan beri laluan mudah apabila Sabah FC berkunjung ke Stadium Darul Aman, Kedah bagi aksi Liga Super pada Jumaat.

Sudah tentu ia akan menjadi pertembungan yang sengit memandangkan dua pasukan itu hanya dipisahkan dua mata menyaksikan Sabah di tangga keempat dengan 24 mata manakala Kedah di kedudukan kelima dengan 22 mata.

Bagi Rodney, Sabah kini dalam momentum yang lebih baik dan tuan rumah perlu lebih berhati-hati dengan pemain seperti Baddrol dan Park Tae-su yang dilihat antara pemain yang sukar dijangka.

350656669_3496796830580403_1985192020041163341_n

Rodney merupakan antara senior dalam skuad Sang Kenari ketika ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Bukan itu sahaja, pemain dari Sarawak tersebut juga menganggap pengalaman yang ada pada Baddrol menyaksikan dia bijak mengawal apa jua situasi yang akhirnya boleh menghukum pihak lawan.

“Memang agak sukar apabila menentang Sabah sebab mereka pun baru tewas dengan Kuala Lumpur City FC (Piala FA) dan sudah tentu selepas ini mereka ingin bangkit untuk menang.

“Tetapi kita di Kedah juga tidak akan berdiam diri dan tidak boleh lagi kehilangan mata terutamanya selepas tewas dengan Selangor tempoh hari.

“Saya tengok Baddrol dan Tae-su banyak kelebihan di atas padang dan macam Baddrol, saya pernah bermain bersamanya sebelum ini, jadi kita dapat tengok dia sentiasa mampu untuk mengawal apa jua keadaan pun.

“Apatah lagi dengan pengalamannya yang lama di sini (Kedah), saya rasa apa-apa pun boleh berlaku dan kita tidak boleh nak pandang mudah perlawanan itu nanti," jelasnya kepada MFL.

350647063_260270543185003_8715361303522678212_n

Nafuzi kini memberi kepercayaan kepada Rodney untuk mengukuhkan benteng pertahanan mereka. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Dalam pada itu, Rodney berpuas hati apabila kini semakin mendapat kepercayaan pengendali, Nafuzi Zain untuk turun beraksi namun tidak boleh terlalu selesa.

Baginya, selepas diketepikan dalam beberapa aksi pada awal musim, dia tekad untuk terus berusaha merebut tempat dan kini konsisten dalam kesebelasan utama sejak lima perlawanan lalu.

“Kalau nak bercakap pasal prestasi, saya daripada awal musim banyak duduk di bangku simpanan dan selepas itu semakin diberi peluang untuk bermain.

“Jurulatih pun dah semakin yakin untuk beri saya peluang bermain, tetapi yang penting saya sentiasa kena cuba berusaha lebih keras dalam latihan.

“Saya juga selalu percayakan percaturan jurulatih dan sasaran peribadi saya adalah untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik sepertimana masa awal-awal saya hadir ke Kedah pada musim 2021," tambahnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram