Sabah FC mahu buka buku baru mulai penutup pusingan pertama liga


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Sabah FC memerlukan anjakan paradigma untuk menambah baik kedudukan mereka dalam liga musim ini. — Facebook/Sabah FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama semeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

BERSEMPENA dengan perlawanan ke-13 dan terakhir dalam pusingan pertama Liga Super 2023, Sabah FC enggan berlengah untuk membuka buku baru tanpa menunggu bermulanya cabaran pusingan kedua pada minggu berikutnya.

“Kami tidak boleh bertangguh dalam memastikan pasukan kembali ke landasan yang kami inginkan,” kongsi ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee dengan Laptop Cabuk. “Dan ia harus bermula sekarang, tak perlu nak tunggu pusingan kedua bermula.”

Sambil kebanyakan pasukan berkira-kira untuk menjadikan pusingan kedua liga bermula dengan minggu ke-14 Liga Super (LS14) pada 7 Jun untuk memperkemaskan pasukan, termasuk melakukan rombakan pemain dalam jendela perpindahan kedua pada Julai, ketua jurulatih The Rhinos itu berasakan pasukannya kini lebih terdesak.

350277235_254245030594947_5059226704748807151_n

Jaringan Gabriel Peres (kiri) memberikan kegembiraan sementara buat penyokong Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Kekecewaan daripada tiga perlawanan terakhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu – seri 2-2 dengan Terengganu FC, menang 3-1 ke atas Perak FC dan tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dalam aksi suku akhir Piala FA – dianggapnya sebagai pembuka mata untuk mereka menebus rentetan kesilapan.

Lebih-lebih lagi, apa yang menanti seterusnya ialah ujian getir dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan – Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat, PDRM FC (8 Jun) dan Kelantan United (26 Jun).

“Kami akan berusaha membuat perubahan terhadap pasukan dan saya tuntut daripada pemain-pemain untuk mengembalikan mutu permainan dan tahap keupayaan sebenar mereka.

“Jika Sabah FC (pasukan di tangga ketiga Liga Super musim 2022) berasakan ia sebuah pasukan yang bagus dalam Liga Malaysia musim ini, maka ia hendaklah bangkit semula.

“Saya tidak fikir kami sebuah pasukan yang lemah, kami telah menunjukkan kami mampu bersaing dengan pasukan-pasukan pencabar utama,” katanya merujuk kepada rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan pada permulaan musim sebelum ditundukkan Johor Darul Takzim (JDT) 4-0 di Iskandar Puteri, Johor, 31 Mac lalu.

Jika diambil kira kekalahan kepada KL City FC itu adalah dalam aksi Piala FA, skuad Sang Badak itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga di Stadium Likas selepas enam perlawanan.

350253654_631916255655184_404246998879014930_n

Jaringan Saravanan seakan-akan 'membunuh' harapan Sabah FC untuk ke separuh akhir Piala FA. Facebook/Kuala Lumpur City

Sejumlah 24 mata yang dihimpunkannya daripada 12 perlawanan hasil 7 menang, 3 seri dan 2 kalah, masih menempatkan wakil Borneo itu di tangga keempat liga – belum tersasar jauh daripada matlamat mengekalkan kedudukan musim lalu.

Kerunsingan Kim Swee ketika ini, bagaimanapun, terarah kepada rekod bolos sebanyak 17 gol dalam liga, yang meletakkan mereka sebagai pasukan dengan rekod pertahanan terburuk dalam kelompok empat pasukan teratas dibandingkan dengan Selangor FC (13) dan Sri Pahang FC (9).

Dalam pada itu, The Rhinos memiliki kuasa ledakan barisan depan yang terpuji dengan menyumbat 29 gol, cuma satu gol di belakang Selangor FC (30) dan jauh meninggalkan Sri Pahang FC (18).

“Kami perlu lebih fokus dalam perlawanan, elak kehilangannya ketika mendahului dan tidak ulangi kesilapan yang terbukti mahal harganya dalam beberapa perlawanan terakhir. Paling penting, kami perlu elakkan mudah bolos lagi.

“Dalam perlawanan yang kami kalah atau yang kami bolos, ia disebabkan kesilapan yang berulang-ulang. Kami tidak boleh membenarkan keadaan seperti itu berulang lagi selepas ini,” katanya.

349720623_971881180513879_5998720729060345327_n

Kim Swee enggan menyalahkan mana-mana pihak ke atas keputusan tidak konsisten itu. Facebook/Sabah FC

Kim Swee mengambil tanggungjawab terhadap prestasi turun naik pasukannya dan tidak mahu menyalahkan sesiapa melainkan perlu membuat analisis menyeluruh terhadap puncanya serta mencari penyelesaian segera.

“Saya perlu cari jalan keluar daripada masalah kami, terutama untuk pastikan pemain kekalkan sepenuh penumpuan, tidak kira berapa gol pun kami mendahului, dan bukan berhenti bermain dan mengambil mudah sesudah itu.

“Ya, saya sudah berulang kali ingatkan pemain, marahkan mereka walaupun tidak gemar lakukan itu dan menuntut mereka belajar daripada kesilapan.

“Ada banyak benda yang saya tak gembira, ada perkara yang pemain juga tak gembira. Harap-harap ia menjadi pembuka mata agar kami menjadi pasukan yang lebih baik,” tambahnya.

Kim Swee juga menyasarkan untuk pasukannya menghadapi perlawanan satu persatu daripada memandang terlalu ke depan.

Dan ia akan dimulai dengan kunjungan ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini – perlawanan yang akan menemukan dua pasukan yang bertekad bangkit daripada kekalahan dalam perlawanan terdahulu.

350306548_1158697758297663_1050827675700754204_n

Prestasi semasa Willian Lira (kanan) menarik tumpuan pihak kejurulatihan Sabah FC. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Skuad Sang Kenari itu tunduk 2-3 kepada Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 24 Mei, yang disusuli rasa tidak puas hati pasukan dan penyokongnya yang mendakwa gol kemenangan tuan rumah itu dari kedudukan ofsaid.

“Keadaannya tidak akan mudah apabila berhadapan dengan pasukan yang masih marah. Tambahan pula, Kedah semakin menunjukkan peningkatan, dengan barisan penyerangnya semakin tajam di depan gol,” ujarnya.

Penyerang skuad Hijau Kuning itu, Willian Lira, turut semakin menyerlah dengan sumbangan satu gol ketika menentang Selangor, yang membawa jumlah jaringan peribadinya kepada enam setakat ini.

“Saya jangkakan perlawanan yang sukar. Kami perlu ke sana dengan perancangan rapi. Sudah tentu kami tidak boleh ulangi permainan separuh masa kedua menentang Terengganu dan Perak dan juga separuh masa pertama berdepan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Tapi, seperti yang ditekannya, ia akan menjadi permulaan kepada buku baru buat Sabah FC, yang boleh difahami sebagai sasaran tiga mata untuk mengembalikan mereka ke landasan kemenangan semula. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram