KEMELUT dalaman yang melanda kem Kelantan FC sejak Mac lalu masih tidak menemui jalan penyelesaian apabila satu persatu individu berkaitan pasukan itu tampil memberanikan membongkar isu luar padang skuad Pantai Timur tersebut.
Bermula dengan ejen bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik iaitu Myeongho Jeong sehingga pemain yang masih berada dalam kontrak Kelantan, semuanya bersatu demi membongkar dan memperjuangkan hak masing-masing.
Isu luar padang seperti masalah gaji bukan cuma merosakkan nama baik skuad The Red Warriors (TRW), malah beberapa pemain juga sudah mulai angkat kaki daripada menyarung jersi pasukan Kelantan.
Antara pemain yang secara rasmi sudah meninggalkan pasukan tersebut pada April lalu ialah Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Carli De Murga.
Tidak cukup dengan itu, penyerang utama, Nurshamil Abd Ghani turut berkongsi luahan mengenai masalah dalaman Kelantan sehingga dia seperti memberi petunjuk akan angkat kaki daripada skuad TRW.
Kelantan nampaknya akan terus kehilangan pemain pada jendela perpindahan kedua nanti apabila difahamkan seorang lagi tonggak bertaraf bintang akan turut serta mengikuti rakan lain meninggalkan Kelantan.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh penjaga gol pasukan TRW Kelantan, Farhan Abu Bakar yang mana dia mendedahkan bahawa kontrak kapten pasukan, Mario Arques akan tamat pada Jun ini.
Arques mendapat kepercayaan jurulatih dengan menjadi ketua pasukan. — Facebook/TRW
Selain daripada itu, pemain kelahiran Kedah itu turut mendedahkan status tonggak import Sepanyol, Miguel Cifuentes yang masih tidak menandatangani kontrak secara rasmi sejak kemasukannya pada Januari lalu.
“Setahu saya, majoriti pemain import hanya mempunyai kontrak enam bulan. Yang saya pasti Mario memang enam bulan sahaja.
“Mengenai Cifu, setahu saya dia ada bagi tahu yang dia masih tak tahu amount gaji dan masih belum turunkan tandatangan di kontrak (kontrak bertulis).
“Sampai sekarang, saya pun tak tahu status dia. Mereka (pihak pengurusan) masukkan jumlah yang mereka nak masukkan tapi tiada tandatangan apa-apa,” katanya kepada Majoriti.
Cifuentes sudah menjaringkan empat gol dalam 12 perlawanan skuad TRW. — Facebook/TRW
Dalam pada itu, mengenai perkembangan 11 pemain yang bakal menyertai Kelantan FC, Farhan Abu Bakar menegaskan bahawa ia hanyalah sekadar ingin menenangkan penyokong.
“Status 11 orang pemain itu hanya sekadar kenyataan untuk puaskan hati penyokong. Tiada info siapa pemain yang nak datang pun,” kongsinya.
Terdahulu, Farhan Abu Bakar mendedahkan suasana sebenar yang dialami pasukan berkenaan sehingga menyifatkan pihak pengurusan skuad Kelantan tidak berperikemanusiaan.
Menerusi satu audio yang dimuat naik pemain kelahiran Kedah itu, seorang individu dipercayai wakil pengurusan menghamburkan kata-kata kurang kurang sopan selepas bekas pemain meminta gaji tertunggak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram