Baru kalah sekali di Likas, sudah ada toksik mula laung ‘OKS out!'


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Kim Swee bersama barisan kejurulatihannya di Sabah FC. — Facebook/Sabah FC

"DATUK Ong Kim Swee berehatlah,ganti yang lain."

Itulah luahan salah seorang penyokong Sabah FC di media sosial apabila merasa sangat kecewa selepas pasukan kesayangan mereka tewas di halaman sendiri sekali gus gagal menempah slot ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023.

Juara tiga kali, Kuala Lumpur City FC bangkit daripada ketinggalan untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menumpaskan Sabah FC 2-1 pada pertembungan suku akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Skuad bimbingan Kim Swee dengan rekod baik di laman sendiri bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Gabriel Peres.

KL City kembali memperkemaskan permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil penyudah Romel Morales.

Sebelum tamat separuh masa pertama, T. Saravanan muncul wira skuad The City Boys selepas meledak gol kedua pasukan pada minit ke-44.

Sabah cuba bangkit mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, namun kekentalan barisan pertahanan KL City menidakkan beberapa peluang anak buah Kim Swee sekali gus terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar daripada saingan.

Kesebelasan utama Sabah FC ketika menentang KL City pada Ahad. — Facebook/Sabah FC

Kekalahan Sabah itu menutup salah satu peluang Sang Badak itu beraksi di pentas Asia yang mana Piala FA menawarkan slot ke Piala AFC 2024 bagi sesiapa yang bergelar juara.

Dengan kekalahan Sabah itu, segelintir penyokong mahukan pihak pengurusan Sang Badak merehatkan Kim Swee walaupun baru tewas sekali di laman sendiri.

"Daripada kamu cakap taktikal 'out' pemain 'out', bagus Ong Kim Swee suruh keluar terus," kata Kakarotz Bz.

"Macam mana nak tingkat mutu permainan kalau cuma berserah pada nasib, kalau pemain serah pada nasib itulah jadinya," jelas Lamirisalintang Rayzida.

"Sabah kuat ketika 90-an sekarang dah tak digeruni lembik tiada semangat melawan harap nasib saja," ujar Bani Ruhaid.

Meskipu segelintir penyokong ini mahu pihak pengurusan rehatkan Kim Swee, tapi rata-rata penyokong sejati Sabah masih percaya dengan kebolehan jurulatih berusia 52 tahun itu.

Malah seperti kacang lupakan kulit, ada segelintir penyokong sudah lupa kemampuan Kim Swee berusaha keras membawa skuad Sang Badak mara ke saingan Piala AFC pada musim ini susulan prestasi baik pada tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram