KELAB gergasi Thailand, Buriram United semakin menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjadi antara pasukan terbaik di Asia Tenggara terutamanya selepas berhasil menjulang treble pada musim ini.
Difahamkan bagi mengekalkan kejuaraan treble pada musim seterusnya, Buriram akan membawa masuk khidmat bekas pemain kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta.
Selepas mengumumkan untuk meninggalkan kelab Jepun, Vissel Kobe pada Jun 2023, Andres Iniesta diburu oleh banyak kelab dunia termasuklah kelab Thailand itu yang dilaporkan bersedia untuk membawa masuk bekas pemain tengah Barcelona tersebut.
Iniesta sendiri menyertai kelab Jepun, Vissel Kobe pada Julai 2018 dan sepanjang kerjayanya di negara Sakura itu, dia berjaya menjaringkan 21 gol dalam 112 perlawanan sepanjang lima musim.
Tangkap layar hantaran Ufootball.
Mendengar khabar berkenaan, pengerusi kelab Buriram United, Newin Chidchob menunjukkan minat mereka untuk membawa pemenang Piala Dunia 2010 itu bagi membantu skuad Thunder Castle mengulangi kejayaan treble.
Khabar angin perpindahan pemain berusia 39 tahun itu ke Buriram menarik perhatian liga bola sepak Asia Tenggara dan salah satu laman penyokong, Ufootball juga tidak sabar dengan kehadiran Iniesta ke Thailand.
Lebih menarik perhatian apabila laman penyokong tersebut memetik Johor Darul Takzim (JDT) dalam hantaran khabar angin Iniesta bakal menyarung jersi Buriram musim depan.
“Pemain tengah legenda Andres Iniesta telah dikaitkan dengan Juara Liga Thailand, Buriram United. Dia akan menjadi pemain terhebat pernah bermain di Thailand. JDT are you watching?,” tulisnya.
Memetik nama Harimau Selatan pada hantaran tersebut seperti ingin mengapi-apikan dua kelab gergasi Asia Tenggara itu terutamanya selepas JDT turut dikaitkan akan membawa masuk bekas penyerang Manchester United, Radamel Falcao.
Sebelum ini, media Sepanyol, Marca melaporkan Falcao bersedia untuk menyertai JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram