'Weigang datang team dah solid', Jamal Nasir pertahan skuad lebih penting daripada jurulatih


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Harimau Muda tidak layak ke perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja apabila sekadar terkandas di saingan peringkat kumpulan. — Facebook/ FAM

BAGAIKAN menghitung hari apabila nasib pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara E Elavarasan hanya boleh diketahui selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima laporan bedah siasat membabitkan prestasi pasukan di pentas Sukan SEA 2023 di Kemboja tempoh hari.

Ini selepas pasukan Harimau Muda kendalian pengendali berusia 61 tahun tidak berjaya memenuhi sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja apabila sekadar terkandas di saingan peringkat kumpulan.

Rentetan itu, timbul desas-desus daripada pihak tertentu yang menganggap agar sudah tiba masanya Elavarasan ditukar kepada individu lain dalam menghadapi perlawanan atau kejohanan akan datang.

346296093_195461016710616_5793098269949204601_n

Skuad B-23 kebangsaan ke Sukan SEA Kemboja 2023. — Facebook/ FAM

Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir turut kecewa dengan pencapaian Harimau Muda apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam.

Legenda bola sepak tempatan era 70-an itu menyifatkan perlu ada satu perubahan dari sudut kejurulatihan kerana taktikal yang diterapkan ketika ini dilihat masih menggunakan taktikal long-ball selain tidak menunjukkan corak permainan yang cantik.

"Dari segi taktikal saya tengok tiada perubahan masih lagi main long ball out daripada lebih kerap bermain secara short passes.

"Jadi dapat dilihat kebanyakan pemain skuad B-23 ini masih lagi di tahap pemikiran lama. Kalau tak move on, kita (skuad negara) tak ke mana juga," katanya kepada Majoriti.

2094648

Datuk Lim Teong Kim (dua dari kiri) ketika bergelar ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan pada 2018. — Facebook/ FAM

Enggan mengulas tentang calon lebih layak mengemudi skuad B-23 negara, Jamal berpendapat, pentingnya ada regular atau core players bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Mereka perlu ada kebersamaan dalam satu tempoh yang lama untuk bentuk kesefahaman dan keserasian yang baik," ujarnya.

Katanya lagi, pasukan yang diwakilinya ketika Malaysia menjuarai bola sepak Sukan SEA 1979 di Jakarta dibentuk daripada sejumlah pemain yang bermain bersama sejak 1973.

"Waktu itu, kami main bersama selama enam tahun, hanya seorang dua pemain yang bertukar. Malaysia ada solid team pada zaman itu.

"Apabila mendiang Karl-Heinz Weigang datang sebagai jurulatih baru dan ambil alih pasukan pun, the team is already there, dia tinggal polish up saja," katanya.

Jamal Nasir berkata, taktikal pengendali Korea Selatan, Kim Pan-gon di skuad senior kebangsaan boleh diambil sebagai contoh untuk memantapkan lagi pasukan adik.

Screenshot 2023-05-29 201112

Pasukan bola sepak Malaysia tahun 1980 di bawah kendalian Weigang.

Menurutnya, siapa pun jurulatih yang mendapat mandat mengemudi skuad B-23 kelak, mereka boleh belajar daripada Pan-gon cara dia mengendalikan Harimau Malaya.

"Mereka boleh belajar macam mana taktikal Pan-gon, cara dia beri intensiti tinggi dan ‘high pressing’ kepada pasukan.

"Taktikal sedemikian lebih penting untuk mencorakkan pasukan dan bukannya menukar atau mengganti pemain melainkan umur pemain sudah tidak melayakkan mereka untuk bersama pasukan B-23," katanya lagi.

Terdahulu, FAM dilaporkan sudah meminta Elavarasan mengemukakan laporan terperinci kepada badan induk berkenaan.

Laporan itu turut melihat kepada keperluan untuk melakukan rombakan besar-besaran dalam usaha membentuk skuad lebih mantap dalam menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, Thailand, kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram