Ab Rasid, Terengganu akui minat dapatkan jeneral tengah dari Lembah Klang


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Ab Rasid enggan mendedahkan pemain tersebut bagi menghormati kesemua pihak. — Facebook/Terengganu FC

PRESTASI tidak menentu dalam Liga Super menyebabkan Terengganu FC berada di tangga ketujuh selepas 12 perlawanan setakat ini.

17 mata yang dikutip boleh dikatakan tidak cukup untuk meletakkan kelab Pantai Timur tersebut di posisi lebih baik dengan dua mata membezakan mereka dengan pasukan di tangga keenam, Kuala Lumpur (KL) City FC.

Rombakan yang dilakukan sepanjang jendela perpindahan yang lalu seperti masih belum membuahkan hasil memandangkan kesemua rekrut bergelut untuk menampilkan persembahan terbaik.

Kehadiran dua penyerang baharu, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut terus dipersoalkan rata-rata penyokong Terengganu FC apabila masing-masing gagal dalam meningkatkan keupayaan jentera serangan pasukan.

Di barisan pertahanan pula, bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Kulmatov juga terus bergelut dengan skuad Sang Penyu sudah dibolosi sebanyak 15 kali setakat ini.

Namun, apa yang lebih merisaukan dalam pasukan berkenaan adalah pastinya mengenai kualiti pemain tengah dengan dua wajah baharu, Domagoj Pusic dan Liridon Krasniqi terus mencetuskan kebimbingan.

1958791 (1)

Liridon gagal untuk menambah kualiti dalam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Selain kerap melakukan kesilapan, persembahan longlai setiap kali menyarung jersi Terengganu FC menyebabkan peminat kelab itu mendesak agar kedua-dua pemain berkenaan dilepaskan ketika jendela perpindahan akan datang.

Namun, melihat kepada struktur kewangan kelab, pendekatan berkenaan pastinya sukar untuk diambil, lebih-lebih lagi dengan mereka bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selepas ini.

Jadi, dengan Liridon dan Pusic dijangka akan terus berada bersama Terengganu FC, penyokong pastinya berharap agar pihak pengurusan membawa masuk seorang pemain tengah berkualiti.

Seseorang yang mempunyai kebolehan untuk membaca permainan dan melakukan hantaran semestinya cukup diharapkan untuk diturunkan di samping kapten pasukan, Habib Haroon.

Harapan tersebut seperti turut dikongsi Ketua Pegawai Eksklusif kelab, Ab Rasid Jusoh yang mengakui pihaknya sedang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan seorang pemain tengah.

"Ketika ini, ketua jurulatih (Tomislav Steinbruckner) beri bayangan dia mahukan beberapa pemain yang dia sebutkan, tetapi sukar kerana mereka masih lagi berkontrak dengan pasukan masing-masing.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 11.30.04

KL City FC dan Selangor FC merupakan dua pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang musim ini. Facebook/Kuala Lumpur City

"Dari awal musim lagi, kita sebenarnya berminat dengan seorang pemain dari kelab Lembah Klang, tetapi susah untuk kita dapatkan dia," katanya kepada Majoriti.

Menurut Rasid, pihak pengurusan Terengganu FC enggan untuk berkongsi akan profil individu berkenaan kerana tidak mahu mengganggu hubungannya bersama kelab.

Bagaimanapun, dia terbuka untuk menceritakan latar belakang pemain berkenaan dengan mengatakan bahawa dia sudah memasuki usia 30-an.

Selain itu, Rasid turut mengatakan bahawa jeneral tengah yang sedang disasarkan itu pernah mewakili Harimau Malaya sebanyak beberapa kali.

Ketika ini, terdapat dua pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, iaitu Selangor FC dan KL City FC dengan kedua-dua pasukan memiliki skuad berkualiti.

Skuad Sang Penyu dikhabarkan sedang merisik khidmat dua pemain sayap, Safawi Rasid dan Nor Hakim Hassan memandangkan mereka masih bergelut di posisi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram