'Ex-keeper' Kedah, Selangor pohon pertolongan, siap petik nama TMJ


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Beberapa kejuaraan pernah diraih Jamsari sepanjang karier gemilangnya sebagai penjaga gol. — Stadium Astro

SEBELUM ini, dunia bola sepak tempatan dikejutkan apabila bekas penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian terpaksa menjual barangan peribadinya demi kelangsungan hidup.

Dia yang pernah muncul sebagai antara penjaga gawang terbaik lokal dalam sejarah bola sepak tanah air juga berkata, keputusan tersebut dibuat kerana dia tidak mahu lagi terimbau dengan momen-momen terdahulunya itu.

Kini, dia difahamkan sedang terlibat dalam bidang perniagaan dengan kerjasama bekas pengendali Kedah FA, Azraai Khor Abdullah yang diuruskan sejak 2020.

Bagaimanapun, namanya sekali lagi meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air apabila dia sedang berusaha menjual koleksi medalnya buat kali kedua.

Perkara tersebut disampaikan di ruangan Facebook peribadinya yang jelas mencuri perhatian orang ramai memandangkan dia pernah berada di kemuncak populariti satu masa dahulu.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 17.43.07

Keadaan terkini Jamsari yang sudah berusia 44 tahun.

"Ya ALLAH, permudahkan urusan ku, semoga ada sudi nak membantu membeli koleksi medal MPPJ FC, semoga dengan pembelian itu mampu nak selesaikan segala urusan yang tertangguh sekian lama.

"Semoga ada peminat-peminat bola sepak yang berminat dan terus mesej saya secara terus. Tunggu juga perkhabaran dari Istana Selangor, mana tahu Sultan Selangor minat kerana ia merupakan MPPJ FC," tulisnya.

Selain pernah mewakili pasukan Lembah Klang itu, Jamsari juga pernah bersama-sama dua gergasi bola sepak tempatan, iaitu Selangor FA dan Kedah FA.

Kehadirannya juga pasti sukar dilupakan rata-rata pengikut setia sukan tersebut memandangkan dia berada dalam skuad 'treble' untuk dua musim berturut-turut.

Selain Jamsari, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus juga pernah berbuat demikian apabila bertindak menjual Kasut Emas yang diterimanya pada 2002.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 16.44.17

Hantaran di Facebook Jamsari yang mencuri perhatian ramai pihak.

Di samping itu, hantaran yang dibuat individu berusia 44 tahun turut meminta bantuan daripada pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

"Mana tahu rezeki TMJ baca dan mahu membantu, syukur sangat-sangat," katanya.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan didapati sudah tidak lagi berada di Facebook peribadinya dengan kemungkinan bahawa ia sudah diturunkan meskipun tiada sebarang alasan kukuh diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram