Corbin Ong tercalon bek terbaik AFC 2023 bersama 2 bintang Piala Dunia


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Corbin mengemudi bahagian pertahanan kiri JDT dengan cukup sempurna apabila berjaya merantai jentera serangan lawan. — Facebook/Johor Southern Tigers

KUALITI pemain yang dimiliki juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya sukar untuk dipersoalkan.

Ketajaman jentera serangan merupakan kunci buat pasukan Selatan tanah air tersebut untuk mudah menembusi benteng mana-mana kelab yang dihadapi.

Selain itu, keutuhan barisan pertahanan turut menyaksikan mereka mudah membawa pulang mata dalam kesemua perlawanan, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Antara pemain yang memainkan peranan penting buat skuad Harimau Selatan ialah pemain pertahanan kiri, Corbin Ong yang juga merupakan antara tonggak pasukan itu.

Pemain berketinggian 1.84 meter bukan sahaja cemerlang dalam aspek pertahanan, namun dua gol yang dijaringkan dalam Liga Super membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gol.

Malah sepanjang musim ini, dia kerap kali diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjadi aset untuk melancarkan serangan dari bahagian kiri Harimau Selatan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila pemain kebangsaan ini disenarai pendek dalam kalangan pertahanan terbaik yang dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pencapaian ini pasti cukup membanggakan buat Corbin Ong sendiri kerana ini adalah kali kedua dia tersenarai dalam kelompok pertahanan terbaik di rantau Asia.

Tidak cukup dengan itu, namanya tersenarai di antara dua pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia iaitu Hiroki Sakai dan Saud Abdulhamid.

Sakai sememangnya cukup terkenal di benua Asia selepas membantu kelabnya Urawa Red Diamond menjulang Liga Juara-juara AFC (ACL) 2022.

Kebolehannya itu juga cukup dihargai skuad kebangsan Jepun memandangkan khidmatnya diperlukan sebagai pemain pertahanan ketika Piala Dunia 2022.

Sementara itu, bek kanan Arab Saudi, Saud Abdulhamid juga mencuri tumpuan apabila pasukan yang diwakilinya, Al Hilal memasuki peringkat akhir ACL meskipun tewas kepada Urawa Reds.

Musim ini, pemain berusia 23 tahun berkenaan mengumpul 23 penampilan dalam Liga Pro Arab Saudi yang kini berada di kedudukan keempat.

Pada masa sama, pemain berketinggian 1.75 meter ini turut diturunkankan sebagai pemain utama kebangsaan Arab Saudi dan membantu pasukannya mengalahkan juara, Argentina ketika di peringkat kumpulan.

Sehubungan itu, melihat pada senarai kelompok pertahanan terbaik pada kejohanan ACL ini, Corbin bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri tetapi turut mengharumkan nama Malaysia dalam arena bola sepak dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram