Lebih 6 tahun bersabar diganggu haters, penyokong tegar jelita Selangor akhirnya buat repot polis demi keselamatan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Nur Syuhada membuat laporan polis atas keselamatan dirinya. — Facebook / Nur Syuhada

PENYOKONG tegar Selangor FC, Nur Syuhada Muhamad Ibrahim yang sering membuat kemunculan di stadium bagi menyokong Gergasi Merah, rupa-rupanya tidak terlepas daripada diganggu orang tidak dikenali.

Namun apabila gangguan itu dirasakan sudah melebihi batas, fans jelita Gergasi Merah itu enggan berdiam diri kerana bimbang faktor keselamatannya.

Begitulah yang terjadi dalam perlawanan antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu apabila dia diganggu dua lelaki tidak dikenali.

Menceritakan kejadian itu, Nur Syuhada memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam semasa dia sedang berjalan menuju ke parkir di kawasan stadium MBPJ usai perlawanan.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 09.12.01

Nur Syuhada membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya. — Facebook / Nur Syuhada

"Ketika nak lintas jalan, tiba-tiba ada dua lelaki tidak dikenali menaiki kereta jenis Proton Saga jerit perkataan - 'But*h Syuhada'.

"Saya nampak nombor plat dan tingkap penumpang terbuka tapi tak nampak muka mereka. Saya terkejut kerana saya tidak buat apa-apa salah pun," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Nur Syuhada berkata, dia mengesyaki mereka mungkin kumpulan haters terdiri daripada kawan-kawan bekas kekasihnya.

"Dulu saya pernah bercinta dengan seorang budak ultras tapi hubungan berakhir pada akhir 2018. Walaupun dah lama, kawan-kawan dia macam tak puas hati...tapi saya tak kacau hidup orang lain pun," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, dia turut diganggu ketika perlawanan di Stadium Ipoh, Perak semasa aksi Selangor FC menentang Perak FC.

349142629_217293117740909_2586192008221246240_n

Nur Syuhada bergambar di Stadium MBPJ dengan berlatarbelakangkan tempat duduk khas Ultra Sel. — Facebook / Nur Syuhada

"Benda dah lama pun masih ada mentaliti macam itu. Jadi sebab dah berlarutan, saya buat laporan polis demi faktor keselamatan diri.

"Lagipun, saya selalu pergi ke stadium seorang diri, so lepas kejadian tersebut, saya kena ambil serius perkara ini kerana risaukan keselamatan," katanya.

Nur Syuhada menyokong Selangor FC sejak kecil kerana sering mengikut ayahnya ke stadium ketika tinggal di Kedah sebelum berpindah ke Selangor pada usia dua tahun dan mula meneruskan legasi tersebut bermula 2015 untuk menonton setiap aksi Gergasi Merah pada perlawanan 'home'.

Seterusnya pada 2017, dia sanggup menghabiskan masa dan tenaga apabila mula mengikuti pasukan Selangor apabila mereka main di tempat lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram