'Memang mengecewakan...', jeneral tengah Sang Kenari ulas 'gol ofsaid' Selangor FC


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Lee Tuck kelihatan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dalam perlawanan menentang Selangor FC pada Rabu. — Facebook/ KDA FC

PERLAWANAN antara Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super ke-12 pada Rabu hangat selepas terkait dengan kontroversi gol ofsaid.

Gol pemain gantian dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-78 itu berjaya meletakkan Gergasi Merah di depan selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Namun, ia tidak menggembirakan penyokong Hijau Kuning yang nyata tidak berpuas hati dan mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.

347229915_260400703177180_8634481436991872817_n

Tangkap layar kedudukan pemain Selangor dan KDA FC ketika sepakan percuma yang menghasilkan gol ketiga Selangor FC. Facebook

Ini kerana fans Sang Kenari mendakwa gol tersebut ofsaid kerana kedudukan Noor Al-Rawabdeh melepasi permain pertahanan KDA FC.

Namun bagi penyokong Selangor FC, mereka berasakan gol itu tidak ofsaid kerana keberadaan pemain Hijau Kuning, Fayadh Zulkifli di depan pintu gol.

Dari perspektif lain, pemain tengah KDA FC, Lee Tuck menyifatkan kekalahan tipis kerana gol sedemikian memang mengecewakan pemain dan penyokong.

"Saya tidak nampak sama ada bola itu ofsaid atau tidak. Saya juga bukan berada dalam posisi untuk menentukan ia ofsaid atau tidak, namun staf (KDA FC) melihat replay gol itu (selepas perlawanan) dan mendakwa ia clear offside.

"Jadi memang mengecewakan apabila berlaku situasi seperti ini yang mana kita tak mahu ia terjadi," katanya kepada Majoriti.

348817639_957780488698847_6307070236440041880_n

Lee Tuck ketika beraksi menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super ke-12. — Facebook/ KDA FC

Menurut Lee Tuck lagi, di sebalik apa yang berlaku, mereka tidak boleh hilang fokus dalam mengharungi saingan liga seterusnya.

"Kita tidak boleh menjadikan hal ini sebagai alasan walaupun ia mengubah kedudukan pasukan dalam carta liga.

"Keputusan pengadil dan perlawanan tidak boleh diubah. Keputusan mereka juga bukan dalam kawalan kami," katanya.

Pemain naturalisasi itu menyeru rakan sepasukan lain untuk terus kekal fokus dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu KDA FC.

349169402_2181979045344734_7652203473584895303_n

Noor Al-Rawabdeh meraikan gol bersama rakan sepasukan. — Facebook/ Selangor FC

"Dalam bola sepak ada masa keputusan tidak berpihak kepada kita.

"Kita perlu terima hakikat kita kalah. Sekarang, kita perlu dapat keputusan lebih baik dalam pertembungan dengan Sabah FC nanti," katanya.

KDA FC turun satu anak tangga ke tangga kelima dengan 22 mata selepas kekalahan berkenaan.

Selangor terus kekal di tangga kedua dengan 28 mata selepas mengharungi 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram