KEKALAHAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tangan Selangor FC pada Rabu sememangnya perit untuk diterima penyokong fanatik pasukan tersebut.
Manakan tidak, skuad Sang Kenari tumbang di halaman lawan apabila tewas 2-3 kepada skuad Gergasi Merah meskipun beraksi baik pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Lebih menghampakan lagi, ia adalah kekalahan keempat anak buah Nafuzi Zain selepas gagal meneruskan rentak kecemerlangan menang tiga perlawanan terakhir.
Tewas kepada Selangor turut menguburkan impian skuad Hijau Kuning untuk merapatkan kedudukan pasukan di tempat kedua dalam saingan liga.
Azraai Khor Abdullah. — Facebook/KDA FA
Walaupun tewas, bekas ketua jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah memuji persembahan anak-anak buah Nafuzi Zain ketika berdepan Selangor.
"Ada banyak peningkatan dari segi corak permainan dan sedikit kelainan daripada sebelum ini.
"Saya setuju dengan Nafuzi Zain tak sepatutunya Kedah kalah sebab banyak kali di hadapan tapi Selangor berjaya buat comeback.
"Keseluruhan permainan saya rasa permainan menentang Selangor 'one of the best' yang pernah saya lihat musim ini," katanya pada Majoriti.
Lira dinobatkan sebagai pemain terbaik pasukan Kedah ketika menentang Selangor pada Rabu. — Facebook/KDA FC
Ditanya mengenai persembahan pemain import kelahiran Brazil, Willian Lira Sousa ketika menentang Selangor FC.
Bekas jurulatih berusia 70 tahun itu, memuji kesungguhan Lira dalam membantu skuad Sang Kenari menjaringkan gol.
"Persembahan kesemua pemain import Kedah ada peningkatan, atas faktor kesungguhan personally Lira saya nampak usaha dia terutama gol yang dia jaringkan.
"Kalau striker lain mesti dah 'give up' tapi dia masih 'pressing' sampai dapat bola, ada banyak peningkatan dalam pasukan Kedah.
"Semua bermain baik, tapi untuk kesungguhan saya bagi pada Lira untuk pertama kali kita lihat persembahan dia macam itu," jelasnya.
Lira meraikan jaringan gol bersama penyokong. — Facebook/KDA FC
Dalam pada itu, Azraai mula mempersoalkan corak permainan kapten KDA FC, Manuel Ott yang dilihat sedikit tenggelam dalam perlawanan menentang Selangor FC.
"Kalau kita tengok percaturan coach Nafuzi, kita nampak ada perubahan tapi masih ada banyak ruang untuk diperbaiki, terutama komitmen ketua pasukan.
"Keseluruhan permainan saya gembira cuma kurang bila Ott tak mainkan peranan dia dengan betul," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram