Jersi skuad Shankly jadi inpsirasi kit baharu Liverpool


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Majlis pelancaran jersi baharu Liverpool FC di Sunway Pyramid pada Jumaat lalu.

PENYOKONG Liverpool pasti masih mengingati pengendali legenda Liverpool, Bill Shankly yang pernah membantu The Reds menjuarai Piala FA pada musim 1973-1974 pada musim terakhirnya.

Musim bersejarah itu kekal menjadi antara kenangan manis penyokong The Reds sehingga menjadi ilham jersi baharu bagi musim 2023-2024.

Menampilkan reka bentuk klasik sebagai tema musim baharu, Liverpool menggunakan warna merah dengan kolar kontras putih dan lilitan lengan yang diilhamkan dari skuad Shankly.

Jersi baharu itu membuat penampilan sulung dalam perlawanan akhir musim ini iaitu perlawanan bertemu dengan Aston Villa di Anfield yang berkesudahan seri 1-1.

Perlawanan terakhir itu juga menyaksikan penyerang Roberto Firmino mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan The Reds selepas menabur bakti selama tujuh tahun.

Walaupun tahun ini Liverpool mengalami musim yang kurang konsisten namun Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla menekankan, penyokong The Reds di Malaysia masih setia.

"Biarpun Liverpool FC mengalami pretasi yang pasang surut pada musim ini, kelab itu masih mempunyai peminat yang luar biasa.

“Selama bertahun-tahun, melalui Al-Ikhsan Sports, www.al-ikhsan.com, Football Republic dan kedai Rasmi LFC di Sunway Pyramid, kami telah cuba membawa pengalaman Anfield kepada peminat yang mungkin tidak dapat pergi dan menikmati pengalaman tersebut secara secara langsung.

“Barangan LFC hari ini (Jumaat) tersedia secara melas di 105 kedai kami yang terpilih. Kejayaan ini dapat dicapai, dengan jentera pengedaran dan pemasaran yang luar biasa Al-Ikhsan Sports yang telah kami bina sejak 30 tahun yang lalu,” katanya ketika majlis pelancaran jersi baharu Liverpool FC pada Jumaat lalu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, Al-Ikhsan turut menampilkan tetamu istimewa untuk bersama-sama dalam majlis pelancaran tersebut iaitu pemain legenda The Reds, Patrik Berger.

Bagi yang berminat mendapatkan jersi tersebut, edisi kali ini hadir dalam dua variasi iaitu jersi stadium dan jersi perlawanan dengan diletakkan tanda harga RM299 dan RM515 masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram