Kad merah, penalti hancurkan hasrat Sang Kenari malukan Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Lira (tengah) turut menyumbang satu gol buat KDA FC pada aksi bertemu Selangor di Stadium MBPJ pada Rabu. — Facebook/KDA FC

KALAH tipis 2-3 di tangan Selangor FC menghancurkan hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk membawa pulang tiga mata berharga ke Darul Aman dalam aksi Liga Super pada Rabu.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dimeriahkan dengan sorakan dari pasukan pelawat apabila tonggak import Sang Kenari, Amirbek Juraboev membuat jaringan pembukaan pelawat seawal minit keenam.

Namun, kegembiraan penyokong Hijau Kuning tidak bertahan lama apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah susulan berlaku insiden kekasaran ke atas pemain Selangor.

Walaupun penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz berhasil menepis tendangan penalti dari Ayron del Valle namun penyerang Colombia itu menyambar peluang mencetak jaringan ketika penjaga gol kebangsaan itu terlepas bola dari tangannya pada minit ke-24.

Tiga minit kemudian, kem Sang Kenari kembali tersenyum lebar apabila penyerang Brazil, Willian Lira berhasil memusnahkan benteng pertahanan Gergasi Merah yang diketuai Yazan al-Arab.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 22.11.52

Antara aksi kedua-dua kelab ketika perlawanan tersebut. — Facebook/KDA FC

Babak pertama perlawanan ditutup dengan laungan ’Siuuu’ apabila Faisal Halim akhirnya menyumbangkan satu gol di penghujung masa pertama.

Walaupun babak kedua di MBPJ bermula agak perlahan namun drama kad merah menghangatkan suasana dan menaikkan amarah penyokong Hijau Kuning.

Kamil Akmal kemudiannya dilayangkan kad merah apabila dia melakukan bentesan ketika pemain Selangor dalam situasi ‘satu lawan satu’ dengan Kalamullah hingga Sang Kenari terpaksa akur beraksi dengan 10 orang pemain sahaja.

Keputusan itu jelas menghangatkan lagi suasana di stadium dengan beberapa pemain serta sebilangan besar penyokong KDA FC mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.

Kem KDA FC berakhir dengan kekecewaan apabila Noor Al-Rawabdeh menambah jaringan pada minit ke-78 buat Gergasi Merah.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Kedah menghuni kedudukan kelima dengan 22 mata, manakala Gergasi Merah kekal berada di tangga kedua Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram