'Macam hadiah buat Kelantan United', K. Devan kecewa NSFC tidak 'organise', kurang disiplin


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Devan turut mengakui dirinya kecewa dengan keputusan seri yang dicatatkan di laman sendiri. — MFL

JARINGAN Filemon Anyie pada minit ke-95 perlawanan memastikan Negeri Sembilan FC berjaya membawa pulang satu mata ketika bertemu Kelantan United FC pada Selasa.

Dalam aksi sengit yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan itu, enam gol terhasil dalam perlawanan tersebut dengan keputusan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Kelegaan pastinya dirasai pengendali skuad Jang, K. Devan memandangkan pasukannya berjaya mengekalkan kedudukan mereka di tangga ketujuh Liga Super.

Namun, ia juga boleh dianggap sebagai satu keputusan yang sukar untuk diterima memandangkan Kelantan United merupakan kelab tercorot musim ini.

Bercakap kepada Astro Arena selepas wisel penamat ditiupkan, pengendali kelahiran Negeri Sembilan itu menganggap anak-anak buahnya melakukan beberapa kesilapan yang memakan diri.

348858817_940728193866713_2376155351094464429_n

Beberapa kesilapan dilakukan skuad Jang ketika menerima kunjungan Kelantan United. Facebook/Negeri Sembilan FC

"Saya nampak kita banyak melakukan kesilapan sehingga membolehkan pihak lawan menjaringkan gol dan saya rasa kita kurang teratur.

"Displin pemain ketika bertahan juga kurang baik dan kita melakukan kesilapan semasa kehilangan bola berdekatan gawang gol sendiri," katanya.

Ujar jurulatih berusia 55 tahun itu lagi, ketiga-tiga gol itu dirasakan ibarat 'hadiah' buat skuad Kijang Hijau untuk mengumpul mata ketiga mereka musim ini.

Ketika ini, Negeri Sembilan FC berada di kedudukan ketujuh selepas 12 perlawanan hasil kutipan 17 mata dengan empat kemenangan direkodkan.

Posisi mereka itu bagaimanapun boleh disifatkan sedikit tergugat memandangkan kedua-dua pasukan di tangga kelapan dan kesembilan, Terengganu FC dan Penang FC masih belum beraksi.

Tambah Devan lagi, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan di laman sendiri itu seperti memberi ancaman kepada pasukan kerana mereka berdepan risiko untuk terus jatuh dalam carta liga.

"Bagi saya, satu keputusan yang cukup mengecewakan. Mungkin kita boleh lihat pemain berusaha untuk mendapatkan satu atau tiga mata, tapi kita kurang baik pada hari ini (Selasa).

"Kita telah menyusahkan diri kita sendiri dengan membuat banyak kesilapan yang boleh menyebabkan setiap kali kita ketinggalan dan perlu menjaringkan gol," katanya.

Negeri Sembilan pastinya berharap untuk mendapatkan semula rentak di atas padang memandangkan mereka bakal berdepan pasukan di tangga kedua Liga Super, Selangor FC dalam saingan Piala FA pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram