SEJAK melebarkan sayap ke Korea Selatan, nama pemain tengah, R. Kogileswaran semakin menjadi tumpuan penyokong bola sepak tanah air teruatamnya selepas dia memberikan impak positif ketika debutnya bersama Cheongbuk Cheongju.
Dalam penampilan pertamanya bersama pasukan divisyen dua Liga Korea itu, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC membantu pasukannya dalam kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang dalam pusingan ketiga Piala FA Korea.
Hasil kesan positif yang ditinggalkan Kogileswaran atau lebih mesra dengan sapaan Kogi di negara republik itu, tidak hairanlah jika seorang lagi pemain tempatan berhasil menarik minat sebuah pasukan Korea Selatan untuk menggunakan khidmat tonggak Malaysia.
Tangkap layar ciapan dari Zulhelmi.
Perkara itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya pada Isnin.
“Seorang pemain berstatus pemain kebangsaan bakal ikut jejak langkah R. Kogileswaran ke Liga Korea. Perbincangan sedang berjalan, namun difahamkan kelab asal sedia melakukan ‘mutual agreement’,” tulisnya.
Meskipun belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai pemain yang dimaksudkan itu namun beberapa nama tonggak Harimau Malaya dipetik dan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab berpangkalan di Korea Selatan tersebut.
Antara nama yang dipetik ialah dua pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan dua tonggak Selangor FC iaitu Mukhari Ajmal serta Faisal Halim.
Arif Aiman dan Safawi ketika saingan musim 2021. — Facebook/JDT
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif, JMH Sports Agency, Leo Jeong dilaporkan berhasrat untuk membawa pemain nombor 42 dari JDT iaitu Arif Aiman ke Liga Korea kerana kekagumannya terhadap teknik yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu.
Pada awal bulan ini pula, selepas terlerainya ikatan antara Safawi dan kelab Thailand, Ratchaburi FC, pemain sayap itu dikaitkan akan berkelana ke negara K-pop itu selepas dia dilihat bergambar dengan Jeong.
Faisal dan Mukhari antara watak utama Selangor pada musim ini. — Facebook/SelangorFC
Sementara itu, nama dua pemain Gergasi Merah yang turut dipetik akan ke Korea Selatan adalah selepas kedua-dua mereka menampilkan persembahan cemerlang ketika aksi menentang Perak FC pada Sabtu.
Ketika perlawanan yang menyaksikan Selangor menang 4-0 itu, Jeong turut hadir menonton perlawanan 'El-Clasico Malaya' itu bagi mencari pemain berpotensi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram