ARKITEK tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott menegaskan enggan lagi dikecewakan pasukan bawahan ketika melayan kunjungan Kelantan FC pada Sabtu.
Situasi menentang skuad TRW itu bagaikan dejavu buat dirinya dan mengakui bahawa dia masih terkesan dengan kekalahan kepada PDRM di awal musim ini.
Pada Mac lalu, skuad The Cops mengejutkan Sang Kenari dengan menang 1-0 di laman KDA FC, Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Oleh itu, tidak hairanlah perlawanan berkenaan membuatkan pemain dari Filipina itu sentiasa mengingatkan rakan sepasukannya untuk sentiasa waspada ancaman skuad kendalian Frank Bernhardt itu.
Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain.— Facebook/KDAFC
"Kami melayani semua lawan dengan penuh hormat dan memberikan tumpuan kepada permainan yang mahu kami pamerkan.
“Bertemu Kelantan, semua pemain akan bersedia dan berusaha untuk mendapatkan tiga mata penuh," katanya memetik laporan Stadium Astro.
Manuel juga mengakui gandingannya bersama Amirbek Juraboev di jentera tengah semakin menjadi perhatian pasukan lawan.
Perkara itu menyukarkan Ott dan Amir untuk menjadi nadi kepada permainan 'Nafuzi ball'.
Merasakan ia sebagai satu cabaran besar, Manuel sudah mengkaji kelemahan skuad yang berpangkalan di Pantai Timur itu, sekaligus sedia membantu Kedah meraih kemenangan ketujuh musim ini. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram