Nafuzi jangka game berdepan Selangor sukar, cabar kemampuannya


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Nafuzi percaya aksi berdepan Selangor FC bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tidak boleh leka dengan kemenangan besar ke atas Kelantan FC dalam aksi Liga Super minggu ke-11 sebaliknya perlu beralih tumpuan pada perlawanan menentang Selangor FC Rabu ini.

Ketua jurulatihnya Nafuzi Zain berkata, walaupun tiga mata di halaman sendiri itu memberi semangat dan suntikan moral kepada pasukan, namun berdepan skuad Gergasi Merah di tempat lawan dilihat sukar jika tiada perancangan teliti dilakukan.

"Kita kena memikirkan strategi baharu untuk perlawanan bertemu Selangor di tempat lawan pada Rabu ini kerana jangkaan 'game' ini adalah sukar dan kena ingat bertemu Selangor berbeza berbanding apa yang diperoleh dalam perlawanan tadi.

"Untuk bersaing dengan pasukan teratas liga, kita tak boleh kehilangan mata, itu yang penting sekali dan ia memberi cabaran buat saya sebagai jurulatih," katanya.

Jurulatih berusia 44 tahun itu berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Dalam perlawanan itu, Sang Kenari berpesta gol apabila menjaringkan lima gol tanpa balas dan meletakkan pasukan itu di tangga keempat Liga Super.

347770514_1410556953116395_8450876364793837513_n

Hidalgo (tengah) selepas menjaringkan gol ketiga perlawanan. Facebook/KDA FC

Jaringan daripada lima pemain berbeza, iaitu Manuel Ott, Lee Tuck, Manuel Hidalgo, Willian Lira dan Jonathan Balotelli memastikan kemenangan kedua berturut-turut diperoleh pasukan Utara tanah air itu.

Tambah Nafuzi, percaturan baharunya yang meletakkan Amirul Hisham Awang Kechik di posisi tengah bersama Lee Tuck di sayap kiri berhasil mengucar-ngacirkan pertahanan lawan, sekali gus mencipta banyak peluang dan jaringan.

Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt berkata, pasukannya tidak bernasib baik apabila percaturan yang dibuat serba tidak menjadi

Tambahan pula,kesilapan demi kesilapan dilakukan anak-anak buahnya menyebabkan mereka hilang bola dan tewas pada perlawanan itu.

"Pemain tidak melakukan hantaran yang tepat, malah sering hilang bola, pengalaman pemain juga memberi kesan kepada pasukan, inilah yang membezakan keputusan perlawanan malam ini,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan skuad The Red Warriors kekal di tangga ke-13 liga dengan mereka bakal menerima kunjungan PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram