Selain perlawanan 'El Clasico Malaya', 3 lagi insiden pergaduhan pernah membabitkan kasual Perak


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

Tangkap layar video pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan ‘casual’ antara penyokong Perak dengan penyokong Selangor ketika aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

TULAR video kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan kasual antara penyokong Perak dengan penyokong Selangor ketika aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu.

Menerusi rakaman video yang dikongsi oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dalam Twitter pergaduhan itu dipercayai berlaku di kawasan tempat duduk yang mana kelibat sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah kawasan penyokong Selangor.

Pihak polis juga kelihatan bergelut untuk meleraikan pergaduhan itu sekali gus berlaku aksi tumbuk-menumbuk di antara kedua-dua penyokong tersebut.

Difahamkan, pergaduhan antara penyokong tercetus sebelum perlawanan apabila tular sebuah video di Twitter @SpskOfficial memperlihatkan kerumunan individu bergasak di hadapan Pusat Akuatik Tuanku Zara berhampiran stadium.

Susulan insiden, kawalan keselamatan dipertingkatkan termasuk polis mengiringi bas pemain selepas perlawanan selesai, selain belasan bas lagi yang membawa penyokong dari Selangor.

Namun adakah anda tahu ini bukan pertama kali kasual Perak terlibat dengan insiden pergaduhan bersama penyokong pasukan lain.

Majoriti senaraikan tiga pergaduhan melibatkan kasual Perak dengan pasukan lain di dalam Liga Super:

Perak vs JDT

Sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan bola sepak JDT dan seorang jurufoto akhbar cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang tercetus. Bernama

1. Perak FC lawan Johor Darul Takzim (Liga Super 2016)

Sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan bola sepak JDT dan seorang jurufoto akhbar cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang berlaku di Stadium Perak pada 7 Ogos 2016.

Kekecohan berlaku selepas tuan rumah, Perak kalah 0-1 kepada pasukan pelawat Harimau Selatan dalam saingan Liga Super.

Ketika penyokong JDT berada di tengah padang bagi meraikan kemenangan itu, provokasi tercetus sehingga menyebabkan para penyokong kedua-dua pasukan saling membaling botol minuman selain turut melontar mercun.

Setengah jam kemudian, kira-kira 1,000 penyokong JDT diarahkan oleh pihak keselamatan untuk berkumpul di tengah-tengah padang sebagai langkah keselamatan selama hampir satu jam.

Nyanyian lagu 'Perak bangsat' oleh sekumpulan penyokong JDT dikatakan punca tercetus kekecohan selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak itu.

Kelantan vs Perak

Kekecohan yang tercetus di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas tamat aksi Liga Perdana di antara Kelantan City dan Perak FC.

2. Kelantan FC lawan Perak FC (Liga Perdana 2022)

Perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV pada 10 Ogos 2022 dicemari dengan insiden pergaduhan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.

Kejadian dipercayai bermula apabila sekelompok penyokong pasukan pelawat melakukan provokasi terhadap penyokong tuan rumah di sekitar penghujung perlawanan.

Insiden berkenaan membawa kepada situasi berbalas balingan objek sehingga memaksa penyokong Perak FC memasuki kawasan padang perlawanan dan berkumpul di hadapan gol.

Keadaan tidak terhenti di situ apabila kelompok penyokong Bos Gaurus dilihat meraikan kemenangan mereka di atas padang sambil sesetengahnya terus melakukan aksi provokasi ke arah penyokong Kelantan.

Suasana bertambah kecoh apabila penyokong Kelantan FC berkumpul di luar stadium sehingga memaksa pihak keselamatan bersama pasukan polis menahan penyokong-penyokong Perak di dalam kawasan stadium.

Tangkap layar video pergaduhan dipercayai membabitkan penyokong Perak FC dan 'casual' Penang dalam kejadian yang berlaku pada 1 April 2023.

3. Penang FC lawan Perak FC (Liga Super 2023)

Sebelum ini tular video kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan ‘casual’ Penang selepas berakhir perlawanan keenam Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 1 April 2023.

Polis mengesahkan kejadian pergaduhan membabitkan penyokong Penang FC dan Perak FC itu berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit.

Dalam perlawanan itu, Penang FC melakar kejutan apabila buat pertama kali mencipta kemenangan di laman sendiri musim ini selepas membenam Perak FC 3-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram