KELANTAN FC gagal meraih sebarang mata selepas dimalukan 0-5 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi ke-11 Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Kekalahan besar itu bukan sahaja menyaksikan barisan pemain The Red Warriors (TRW) gagal mendapatkan gaji penuh pada bulan mendatang namun ia juga mengugat kedudukan Frank Bernhardt.
Sebelum ini, pemilik TRW, Norizam Tukiman menuntut barisan pemain mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya Liga Super musim ini sebagai syarat untuk mendapat gaji penuh.
Situasi Bernhardt pula, Norizam tidak ragu-ragu untuk memecat bekas pengendali UiTm FC itu sekiranya masih gagal mencapai KPI kelab yang mana beliau akan digugurkan sekiranya tewas dalam lima kali perlawanan.
Bernhardt hanya menang menentang Manjung City FC bagi saingan Piala FA. — Facebook/TRW
Sejak menggantikan Choi Moon-sik pada awal April lalu, pengendali dari Jerman itu sudah tewas sebanyak tiga kali awalnya bagi saingan Liga Super
Selain daripada dua situasi tersebut, Kelantan juga dijangka memecahkan rekod baharu iaitu menjadi pasukan Liga Super yang mempunyai rekod bolos tertinggi dalam sejarah.
Ramalan tersebut dinyatakan sendiri oleh pemerhati sukan, Zuraimi Zukri dan rata-ratanya penyokong turut senada dengannya apabila melihat statistik terkini kelab Pantai Timur itu.
“Kelantan berada di landasan terbaik untuk meleburkan rekod bolos terbanyak dalam sejarah Liga Super Malaysia.
“Sebelum ini, mengikut trend dahulu ia diramalkan 80 bolos dan mengikut trend terkini ia boleh ditingkatkan kepada 85. Rekod sebelum ini dipegang oleh PDRM dengan 75 bolos,” katanya.
Kelantan gagal membuat sebarang jaringan di Darul Aman. — Facebook/TRW
Selepas kalah besar di Darul Aman, Kelantan sudah merekodkan 39 jumlah bolos dan kesemua itu berlaku dalam 11 perlawanan Liga Super.
Memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri, Sang Kenari mendahului menerusi jaringan kapten pasukan Manuel Ott pada minit ke-16, sebelum Lee Tuck menambah jaringan pada minit ke-27.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu kemudian sekali lagi membolosi gawang Kelantan menerusi Manuel Hidalgo pada minit ke-47 sebelum ditambah Willian Lira (59’) dan tandukan Jonathan Balotelli pada minit ke-89.
Kini, skuad TRW berada di tangga ke-14 dengan hanya dibezakan dua mata dari pasukan tercorot, Kelantan United FC dengan dua mata selepas 10 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram