Cheng Hoe akui psikologi pemain muda Selangor terjejas lepas Sukan SEA


  • Podium
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Cheng Hoe perlu pastikan Selangor FC membawa pulang tiga mata penuh di tempat lawan.

KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, mendedahkan bahawa pemain kelab yang mewakili negara ke Sukan SEA Kemboja baru-baru ini, bagaikan hilang motivasi selepas skuad Harimau Muda itu gagal melangkah jauh dan terkandas di peringkat kumpulan.

Menurut Cheng Hoe, barisan kejurulatihan Selangor dan pemain senior turut membantu dengan memberikan semangat dan kata-kata positif untuk memulihkan keyakinan mereka.

WhatsApp Image 2023-05-19 at 18.21.46

Pemain muda Selangor FC di Kemboja kembali ke kem Gergasi Merah untuk menghadapi perlawanan Liga Super. Facebook/ Selangor FC

"Seperti pemain yang baru pulang daripada Sukan SEA, mereka perlu dapat keyakinan semula dan daripada segi mental dan psikologi mereka perlu bersedia.

"Kalau kita lihat pencapaian dalam Sukan SEA, ia kurang memberangsangkan dan sedikit sebanyak menjejaskan psikologi mereka.

"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada pemain muda berkenaan untuk pulihkan keyakinan mereka," katanya.

Skuad B-22 negara gagal memenuhi sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Harimau Muda menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan B dengan jumlah enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam.

Antara enam pemain Selangor yang berada dalam senarai pasukan itu ialah Muhamad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, Ruventhiran, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Oleh itu, Cheng Hoe mahu pemainnya bangkit melakar kemenangan ke atas Perak selepas tewas kepada Sabah sebelum aksi Liga Super berehat bulan lalu.

"Ia perlawanan yang kami perlu bangkit semula selepas kekalahan kepada Sabah tetapi kami perlu berhati-hati kerana pasukan Perak ini apabila bermain di laman sendiri mereka sangat bersemangat.

"Mereka juga menang dengan Kelantan, jadi kami perlu bermain dengan baik dan fokus sepanjang 90 minit," katanya.

Selangor FC bakal menentang Perak FC pada 20 Mei untuk perlawanan ke-11 Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram