SEORANG pemain bola sepak Indonesia, Akhirul Wadhan mengalami kecederaan serius ketika aksi final Kejohanan Bola Sepak Kruengmane 2023 antara kelab Putra Kuta Blang dan Remaja Muara Batu.
Pemain berusia 25 tahun itu patah kaki selepas dikasari oleh pertahanan pasukan lawan dalam perlawanan peringkat liga kampung di Aceh, Indonesia pada Khamis.
Dalam insiden itu, Akhirul terkena terjahan keras dari belakang oleh seorang pemain lain sehingga mengakibatkan kakinya patah.
Pemain bola sepak profesional itu juga terpaksa dibawa keluar dari padang sebelum segera digegaskan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, demikian menurut laporan Tribun News.
Kecederaan serius yang dialami menyaksikan Akhirul perlu berehat daripada karier bola sepak buat sementara waktu.
Akhirul merupakan pemain bola sepak profesional yang dilahirkan di Tualang pada 26 September 1997.
Pemain berketinggian 1.72 itu beraksi di posisi penyerang untuk kelab liga divisyen kedua, PSDS Deli Serdang.
Dia memulakan karier pada usia 17 tahun di Kelab Peureulak Raya pada 1 Julai 2015 hingga 1 Januari 2017 sebelum menyertai Aceh United pada musim 2018.
Pada musim 2019, dia kembali bermain untuk Peureulak Raya sebelum ke PON Aceh pada 2020 dan Persiraja pada 2021. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram