MEMASUKI bulan keempat sejak Liga Super membuka tirainya, pelbagai kontroversi mula timbul yang sedikit mencalarkan imej serta reputasi bola sepak tanah air.
Antara yang kerap terpalit dengan isu luar padang ialah kelab Pantai Timur, Kelantan FC bermula dengan pendedahan mengejutkan daripada bekas jurulatih, Choi Moon-sik.
Kegagalan untuk menjaga kebajikan pemain dan staf kejurulatihan terus menjadi topik perbualan hangat sehingga memberi tekanan kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman.
Tidak cukup dengan itu, kehadiran pengendali baharu, Frank Bernhardt juga tidak berjaya memadam api yang menjilat pasukan berkenaan hari demi hari.
Kini, dengan skuad The Red Warriors (TRW) hanya mengumpul empat mata daripada 10 perlawanan, perubahan pasti didesak penyokong setia mereka.
Bagaimanapun, isu besar sekali lagi melanda pasukan berkenaan apabila pembantu jurulatih, Pol Corpas memilih untuk meninggalkan kelab berkenaan.
Corpas mengumumkan pemergiannya daripada Kelantan FC menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya. — Instagram/Pol Corpas
Jurulatih yang sebelum ini mencuri perhatian media selepas memeluk agama Islam pada Februari lalu mengambil keputusan tersebut pada Sabtu.
Hal itu disahkan menerusi satu hantaran di Instagram peribadi miliknya yang mana mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi peminat kelab Pantai Timur berkenaan.
"Hari ini (Jumaat), saya mengucapkan selamat tinggal kepada Kelantan FC yang mana penyokong, kumpulan 'The Gate H Boys', pemain dan staf kejurulatihan sudah menjadikannya cukup besar.
"Ia merupakan satu pengalaman yang cukup menarik sepanjang dua tahun setengah saya berada di sini, yang mana satu pengalaman yang cukup menarik," tulisnya.
Ucapan selamat tinggal yang ditulis jurulatih kelahiran Sepanyol itu.
Sebelum ini, jurulatih kelahiran Sepanyol itu menyertai skuad TRW pada Julai 2020 dengan antara sumbangan terbaiknya adalah ketika pasukan terbabit muncul sebagai naib juara Liga Perdana musim lalu.
Bagaimanapun, dengan masa depan kelab itu tidak jelas, Corpas terpaksa mencari angin baharu dalam kariernya dengan dia dikhabarkan ditawarkan jawatan sebagai pembantu jurulatih skuad Bawah 21 Tahun Lion City Sailors di Singapura.
"Saya ingin meluahkan rasa penghargaan saya terhadap kesemua individu yang membolehkan perjalanan saya di Kelantan cukup mudah, terutamanya keluarga serta pasangan saya.
"Kisah saya di sini mungkin sudah tertutup, namun ia membuka judul baharu dalam hidup saya. Ia bukanlah ucapan selamat tinggal, tetapi lebih kepada ucapan 'jumpa anda pada kemudian hari," tulisnya.
Kelantan FC sebelum ini terpaksa menyaksikan pemergian tiga pemain, iaitu Shafiq Shaharudin, Christian Rontini serta Carli de Murga.
Mereka turut dikhabarkan bakal mengadakan rombakan secara besar-besaran ketika jendela perpindahan kedua bagi menghidupkan peluang memasuki separuh kedua musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram