Kesungguhan TMJ uruskan JDT buat tonggak skuad Indonesia kagum


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

JDT meraikan kejuaraan selepas menang menewaskan Terengganu 3-1 pada Piala FA 2022. — Instagram/ jordiamat5

SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) gah mengungguli carta Liga Super 2023 dengan mengutip 43 mata sepanjang 11 perlawanan berlangsung dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Pasukan yang dibarisi dengan pemain import dan tempatan itu nampaknya tidak memberi peluang kepada pencabar liga untuk merebut kedudukan teratas tersebut.

Antara yang sememangnya merupakan tonggak buat kelab itu ialah bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Jordi Amat yang kini sudah diangkat sebagai kapten pasukan.

WhatsApp Image 2023-05-16 at 15.42.31

Jordi Amat memikul tanggungjawab sebagai kapten JDT dengan baik. Instagram/ jordiamat5

Menerusi satu perkongsian daripada Jordi, dia mendedahkan terdapat perbezaan ketara yang ditunjukkan JDT berbanding ketika dia berada di pasukan lain.

Pemain naturalisasi kebangsaan Indonesia itu menyifatkan pengurusan di bawah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbeza dengan kelab-kelab lain kerana putera raja itu seorang figura yang unik dan sentiasa mengambil berat terhadap pasukan.

Malahan, pemain itu turut menggariskan tiga perbezaan yang menjadi tanda tumpuan berdasarkan pengamatannya.

1. Kesungguhan

Jordi menyifatkan kesungguhan TMJ dalam membawa nama JDT ke peringkat yang lebih tinggi adalah seiring dengan pengurusan yang dilakukan.

Hal ini kerana, kata bekas pemain Swansea City itu personaliti seperti TMJ tidak pernah ditemuinya sepanjang bergelar pemain profesional.

Kesungguhan TMJ dapat dilihat apabila memberi motivasi kepada pemain Harimau Selatan agar menampilkan aksi terbaik di atas padang.

“Ya, saya boleh katakan ini sesuatu yang baru untuk saya kerana tak pernah melihat orang sepertinya yang sentiasa memberi motivasi dan mempertahankan kami dan kelab.

“Kami amat menghormatinya kerana banyak melakukan perkara yang bagus untuk kelab. Jadi, satu cara untuk kami membalasnya ialah dengan meraih kemenangan dan memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan,” katanya kepada Astro Arena.

2. Kewangan

Pemain kelahiran Sepanyol itu meninggalkan kelab utama Greece kerana perbandingan gaji yang ditawarkan di JDT cukup lumayan.

Selain itu, bintang baharu JDT itu menegaskan pilihannya menyertai kelab terbabit kerana fasiliti dan kemudahan moden yang tidak terdapat di mana-mana kelab sebelum ini termasuk di Eropah.

Walaupun sudah beraksi agak lama di Eropah, namun, Jordi mengakui fasiliti di JDT lebih mengagumkan.

3. Visi kelab

Pemain berusia 31 tahun itu juga sering berkelana beraksi bersama kelab-kelab di serata dunia antaranya Espanyol, Rayo Vallecano, Swansea City dan KAS Eupen.

Meskipun bertahun-tahun dalam dunia bola sepak, visi TMJ berbeza kerana walaupun pasukan kecil tetapi ingin memenangi Liga Juara-Juara (AFC).

Jordi yang sudah merekodkan sejumlah 256 penampilan bersama enam kelab terkemuka Eropah dari 2010-2022 adalah aset terbaharu JDT bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu.

Oleh itu, bagi pemain berketinggian 1.85 meter menganggap TMJ seorang yang sentiasa mahukan terbaik untuk JDT dalam banyak aspek dari kemudahan kelab hinggalah perpindahan dan kebajikan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram