PENJAGA gawang PDRM FC, Ramadhan Ab Hamid menyifatkan kecederaan lutut Medial Collateral Ligament (MCL) yang dialami itu sebagai ujian untuknya kembali bangkit.
Pemain kelahiran Kelantan itu sempat beraksi dalam empat perlawanan bersama PDRM FC sebelum mendapat kecederaan.
Prestasi yang ditampilkan berjaya meraih kepercayaan ketua jurulatih, Azzmi Aziz untuk meletakkan Ramdhan dalam skuad utama ‘The Cops’ sebelum dia ditimpa nasib malang itu.
Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu menjelaskan kecederaan yang dialami dirinya itu mungkin mengambil masa selama empat bulan untuk kembali bermain seperti biasa.
Ramadhan ketika menyarung jersi Kedah pada musim 2018-2019. — Facebook/KDAFC
“Saya sudah berehat selama dua bulan lebih, dan mungkin berbaki lagi sebulan untuk pulih sepenuhnya.
“Walaupun dah mula latihan, saya masih takut-takut untuk kembali bermain.
“Kalau saya nak beraksi semula, saya kena lebih bekerja keras untuk kembali dalam kesebelasan utama,” katanya memetik laporan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Meskipun terpaksa disisihkan daripada pasukan ketika ini, Ramadhan berharap agar rakan sepasukan dapat kembali bangkit mencari rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis selepas tewas empat perlawanan berturut-turut.
“Untuk malam ini, saya harap rakan-rakan sepasukan boleh bangkit daripada kekalahan tempoh hari,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ramadhan juga tersenarai bagi anugerah Pemain Terbaik Liga Super bagi edisi Februari dan Mac 2023 anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Namun, rezeki tidak berpihak kepada Ramadhan apabila tonggak muda Harimau Selatan, Arif Aiman dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM edisi Februari-Mac 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram