NELSON San Martin bukanlah nama yang perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan penyokong setia pasukan bola sepak Kedah.
Pengaruh ditunjukkannya dalam mengemudi barisan tengah skuad Sang Kenari untuk merangkul kejuaraan treble dua musim berturut-turut pada 2006 dan 2007 merupakan sesuatu yang sukar untuk dilupakan.
Malah, boleh dikatakan skuad yang dibarisi San Martin itu adalah pasukan terbaik pernah disaksikan sepanjang sejarah bola sepak Kedah
Disebabkan itu juga, hubungan pemain kelahiran Chile bersama penyokong Hijau Kuning seakan-akan sukar diputuskan.
San Martin ketika beraksi bersama Kedah. — Facebook
Ini boleh dibuktikan apabila setiap perkembangan yang berlaku dalam kariernya sentiasa mendapat perhatian penyokong Sang Kenari.
Pada masa sama, dia juga tidak menyembunyikan kecintaannya terhadap pasukan Kedah.
Baru-baru ini, San Martin dilihat turut cuba untuk mengubati kerinduannya terhadap kehidupan di negeri Jelapang Padi itu apabila meraikan hari raya di Kedutaan Malaysia di Santiago, Chile bagi merasai kemeriahan suasana Aidilfitri.
Perkara itu dikongsikannya sendiri melalui hantaran video di Facebook peribadinya.
Pada masa sama, penyokong Sang Kenari juga tidak melepaskan peluang untuk memujuk San Martin untuk pulang ke pangkuan Kedah.
Malah, ada antaranya turut mencadangkan tugas baharu boleh dimainkan buat skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC.
"Legenda. Kembali ke Kedah," tulis Master Ejan.
"Nelson, tolong cari pemain terbaik untuk KDA FC. Anda boleh bantu Kedah dari segi mencari pemain yang sesuai dari Amerika Latin atau Chile," kata Musang Berjanggut.
KDA FC kini berada di tangga kelima Liga Super selepas mengharungi 10 perlawanan.
Beberapa tonggak import direkrut KDA FC pada musim ini mendapat kritikan hebat daripada penyokong kerana tidak menampilkan prestasi seperti diharapkan. — Facebook/KDAFC
Namun begitu, penyokong dilihat masih tidak berpuas hati dengan prestasi semasa ditunjukkan pasukan khususnya untuk bersaing bersama pasukan di kelompok teratas liga.
Antara yang mendapat sasaran kritikan peminat tentunya pemain import yang direkrut pada musim ini terutamanya yang beraksi di posisi penyerang dan tengah.
Pada November tahun lalu, San Martin yang kini berusia 42 tahun secara terbuka menawarkan dirinya untuk bersama pengurusan KDA FC pada musim ini.
Dia sebelum itu juga pernah berkongsi kertas kerja yang disediakannya bersama seorang pelatih Instituto Nacional De Futbol (INAF) yang berpangkalan di Chile iaitu Jorge Hoffmann untuk tujuan pembangunan bola sepak Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram