PERGADUHAN besar berlaku ketika perlawanan akhir temasya Sukan SEA 2023 antara Indonesia menentang Thailand yang menyaksikan sekurang-kurangnya lima kad merah dilayangkan oleh pengadil.
Aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja pada Selasa itu menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum skuad Garuda menang dengan keputusan 5-2.
Punca pergaduhan berlaku selepas pemain simpanan dan pegawai pasukan Thailand meraikan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Yotsakon Burapha dan salah seorang pemain Thailand menyerang pemain dan pegawai pasukan lawan.
Ketika memasuki minit pertama waktu tambahan, jaringan daripada Irfan menyebabkan pergaduhan berlaku di kawasan teknikal kedua-dua pasukan.
Hal itu menyebabkan perlawanan ditangguhkan untuk beberapa minit bagi membolehkan pihak pengadilan meredakan keadaan.
Adegan tumbuk menumbuk antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan tidak dapat dielakkan dan salah seorang pegawai Indonesia tidak bernasib baik apabila dia pengsan selepas ditumbuk oleh salah seorang pegawai Thailand.
Tidak cukup dengan itu, terdapat lima layangan kad merah oleh pengadil dengan dua diberikan kepada Indonesia dan tiga diterima Thailand.
Tiga pemain Thailand termasuk Jonathan Khemdee dan pemain Indonesia, Komang Teguh dilayangkan kad merah oleh pengadil ekoran bertindak berlebihan ketika pergaduhan berlaku.
Kedudukan 5-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan pingat emas menjadi milik Indonesia yang mana kali terakhir negara tersebut memenanginya adalah pada edisi 1991 di Filipina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram