PASUKAN Negeri Sembilan berjaya bangkit daripada kekalahan selepas menang dengan keputusan 2-1 menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad.
Perlawanan yang tertunda akibat hujan lebat pada Mac 2023 itu kembali berlangsung selepas Liga Malaysia direhatkan selama tiga minggu untuk memberikan laluan kepada skuad muda negara ke Sukan SEA Kemboja.
Perlawanan yang bermula perlahan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
Namun masuk babak kedua masa permainan, perlawanan semakin rancak apabila kapten pasukan, Zaquan Adha membuka akaun jaringan NSFC pada minit ke-70.
Selang beberapa minit kemudian, skuad kendalian Bojan Hodak kembali bangkit menerusi tandukan Zhafri Yahya untuk cuba menyamakan kedudukan pada minit ke-83.
Mahali Jasuli (kiri) diasak oleh Giancarlo Gallifuoco (kanan). — Facebook/MFL
Namun tiga minit kemudian, anak-anak buah K.Devan berjaya memintas KL City menerusi tandukan Safuwan Baharudin sekali gus merupakan jaringan kemenangan buat skuad The Jangs.
Pemain import KL City, Romel Morales cuba menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras ke dalam gol pasukan tuan rumah, namun kedudukan ofsaid rakan sepasukan membatalkan jaringan tersebut.
Keputusan kekal 2-1 yang mana Negeri Sembilan berjaya mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri manakala KL City gagal meneruskan rentak kecemerlangan menewaskan PDRM FC.
Walaupun pasukan Negeri Sembilan berjaya mengutip tiga mata penuh, namun masih belum memberikan kepuasan buat penyokong-penyokong The Jangs.
Zaquan (depan) berjaya menjaringkan satu gol. — Facebook/MFL
"Pasukan lawan sibuk nak perbaiki pasukan, Negeri Sembilan sibuk nak jatuhkan pasukan sendiri, dulu bukan main susah nak naik," kata Shalihin Rosli.
"Selamatlah Safuwan Baharudin ganti balik selepas buat mistake mudah bagi KL City gol ," ujar Halim Sulaiman.
"Bolehlah, perlawanan first half terlalu slow, nasih baik second half itu nampak okay, overall persembahan masih belum memuaskan," jelas Afwan Shafiq.
"Harap bahagian pertahanan dan serangan dapat memperbaiki prestasi masing-masing, agak panas dada jugalah tengok semua main tadi," luah Oknown Azzam.
Kemenangan NSFC ini menyaksikan mereka menduduki tangga kesembilan Liga Super dengan 13 mata manakala KL City berada di tangga keenam liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram