Sukan SEA: Hoki lelaki tundukkan Singapura, sumbang emas ke-32 negara


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

Tiga gol berjaya dijaringkan pasukan kebangsaan dalam aksi final yang berlangsung pada Selasa. — Facebook/Malaysian Hockey Confederation

SKUAD hoki lelaki negara meneruskan dominasi dalam temasya Sukan SEA apabila memenangi pingat emas selepas menewaskan Singapura 3-0 dalam aksi final pada Selasa.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, Kemboja, pasukan negara turun selaku skuad pilihan bermula dengan langkah kanan apabila memperoleh pukulan sudut penalti di awal permainan namun ketangkasan penjaga gol Singapura, Wee Wei Xuan menafikan usaha Malaysia.

Peluang Malaysia membuka tirai jaringan terhasil menerusi dua lagi pukulan sudut penalti pada minit kedua dan kelima oleh pengadil namun gagal disempurnakan.

Malaysia meningkatkan rentak permainan sejurus perlawanan bersambung dalam suku kedua dengan misi mendapatkan jaringan pembukaan dan percaturan itu berhasil apabila mendapat satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Pukulan sudut penalti keempat negara akhirnya menghadirkan kegembiraan apabila disempurnakan Muhammad Amirul Hamizan Azahar yang membenarkan pasukan bimbingan Muhamad Amin Rahim mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Singapura berusaha untuk menghadirkan permainan yang lebih kemas dengan hasrat untuk menyamakan kedudukan.

Sebaliknya, Malaysia yang berjaya menggandakan jaringan apabila mendapatkan penalti strok selepas pemain Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi dijatuhkan dalam kawasan D.

Amirul Hamizan menggunakan peluang terbaik untuk sekali lagi menewaskan Wei Xuan pada minit ke-38.

Gol ketiga pasukan berjaya terhasil dalam suku akhir menerusi gol padang Alfarico Lance Liau Jr.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas hoki padang tidak dipertandingkan pada 2019 di Filipina dan Hanoi 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram