Hoki wanita dalam dewan tekad balas dendam lawan Indonesia, buru emas Sukan SEA kemboja


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Skuad kebangsaan mahu melunas dendam terhadap pasukan Indonesia menjelang temasya Sukan SEA Kemboja. — Facebook/MHC

SKUAD hoki dalam dewan wanita negara membawa misi balas dendam ke atas Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas di Sukan SEA, Kemboja pada Mei ini.

Penyerang skad kebangsaan, Qasidah Najwa Muhammad Halimi menyifatkan kekalahan Malaysia di tangan Indonesia pada Kejohanan Hoki Dewan Piala Asia 2022 merupakan mimpi ngeri apatah lagi lawan mereka kini di bawah bimbingan jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang pernah membimbing pasukan negara sehingga meraih emas pada edisi 2019 di Filipina.

"Coach Dharma tahu serba sedikit mengenai Malaysia tapi ia tidak jadi masalah kita masih boleh kalahkan mereka. Perlawanan Piala Asia di Thailand sebelum ini kita cuma kalah tipis, saat akhir Indonesia menang, patutnya Malaysia boleh menang, tapi tak ada rezeki.

"Sukan SEA Kemboja peluang membalas dendam untuk kekalahan saat akhir itu, ia merupakan mimpi ngeri lagi-lagi kalah dengan Indonesia bawah kendalian coach Dharma," katanya kepada pemberita semasa sesi latihan skuad hoki dalam dewan wanita.

Pada Kejohanan Hoki Dewan Piala Asia 2022, skuad kebangsaan tewas 0-1 di tangan Indonesia pada pusingan separuh akhir sebelum berjaya meraih pingat gangsa dengan menewaskan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan ketiga dan keempat.

Dalam pada itu, Qasidah Najwa berkata, meskipun pemain dalam yang membawa cabaran ke Kemboja rata-rata muka baharu, namun beliau optimis barisan pemain kuat dan mampu memburu kejuaraan di Kemboja.

Dia pada masa sama turut menyasarkan untuk menyumbang jaringan sebanyak mungkin buat pasukan negara yang kini di bawah kendalian jurulatih Mohd Badrul Hisham Osman.

Pasukan lelaki dan wanita hoki dalam dewan negara berjaya menyapu bersih pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram