Mantap di depan tapi belakang asyik bocor, Kim Swee tekad perbetul keadaan


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

Kim Swee pastinya mahu mencari solusi terbaik buat pasukan, lebih-lebih lagi di benteng pertahanan mereka. — Facebook/Sabah FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

ADA semacam sesuatu yang tak kena dengan rekod jaring-bolos Sabah FC selepas mengharungi 10 perlawanan.

Antara pasukan terbaik daripada segi jaringan – kedua hanya di belakang Johor Darul Takzim (JDT) – dan jumlah bolos menyamai pasukan berkedudukan di bawah mereka, sebenarnya terdedah ketidakseimbangan yang agak ketara.

Apa pun puncanya, ketua jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, tidak sekadar berpeluk tubuh, sebaliknya mencari pelbagai ikhtiar untuk mengatasinya.

Hampir separuh daripada 24 gol yang dijaringkan Sabah FC setakat ini datangnya daripada pemain pertahanan -- Park Tae-su (5), Daniel Ting (4) serta Rizal Ghazali dan Dominic Tan (masing-masing satu).

Apakah ini membayangkan mereka lebih tertumpu kepada membantu serangan hingga mengabaikan tugas hakiki untuk memagari pintu gol yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat?

343970745_1236155753956396_477845025322861149_n

Kim Swee akui keampuan benteng pertahannya sedikit memberi tekanan. Facebook/Sabah FC

Apatah lagi, daripada 10 perlawanan, skuad Sang Badak itu hanya dapat berbangga dengan satu ‘clean sheet’ ketika mengalahkan PDRM FC 4-0 di Stadium Likas dalam perlawanan pertama 25 Februari lalu.

Selebihnya, mereka turut bolos kepada pasukan-pasukan berkedudukan lebih bawah, termasuk Kelantan United, Kuching City FC, Penang FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC.

Ketika berdepan Selangor FC pada 27 April lalu, umpamanya, Sabah FC tampil dengan lima pemain pertahanan – Gabriel Peres, Rizal, Dominic, Daniel dan Tae-su – tapi masih bocor kepada gol Faisal Halim untuk kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-53.

“Bolos sehingga 14 gol memang tak bagus, malah ia satu jumlah yang besar,” kongsi Kim Swee kepada Laptop Cabuk sambil menolak ia berpunca daripada kerakusan pemain mencari jaringan hingga tugas bertahan dikemudiankan.

“Saya harus akui barisan pertahanan menimbulkan sedikit kebimbangan kerana kami tak mampu untuk terus dibolosi debegitu,” tambahnya.

343953102_612214947450592_5527311147682990171_n

Skuad Sang Badak pasti mengharap untuk berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super musim ini. Facebook/Sabah FC

Pada penghujung musim nanti, katanya, perbezaan jaring-bolos adalah penting dalam memutuskan kedudukan pasukan-pasukan, tambahan pula The Rhinos menyasarkan untuk sekurang-kurangnya kekal di tangga ketiga seperti musim lalu untuk layak bersaing di peringkat Asia sekali lagi.

Ketua jurulatih itu turut berkongsi bahawa tempoh rehat kira-kira tiga minggu dalam liga turut dipergunakan untuk memperketatkan barisan pertahanan sambil mengkaji kelompongan yang ada daripada terus dieksploitasi lawan.

“Saya harap kami dapat melakukan yang lebih baik selepas rehat ini dan saya tuntut pertahanan kami terus tunjukkan peningkatan.

“Jika tidak, ia akan menggandakan tekanan ke atas barisan serangan kami yang perlu menyumbat gol lebih daripada yang kami dibolosi di belakang,” katanya.

Mengenai sumbangan besar pemain pertahanan dalam mendapatkan jaringan pasukan, Kim Swee menganggapnya sebagai sesuatu yang positif.

344091459_795728282181613_5323982735843331980_n

Saddil (kiri) sudah menjaringkan empat gol sementara Rizal merekodkan satu gol peribadi. Facebook/Sabah FC

“Kebanyakan gol mereka datang daripada hantaran lintang dan permainan kombinasi. Tentunya ia bagus untuk pasukan tapi pada masa yang sama, adalah penting untuk penyerang melakukan tugas menjaringkan gol,” katanya.

Setakat ini, pemain sayap, Saddil Ramdani sudah menyumbat empat gol manakala Darren Lok, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Baddrol Bakhtiar masing-masing menyusul dengan dua.

“Untuk mengenakan tekanan ke atas pertahanan lawan, kepantasan diperlukan dalam kalangan penyerang dan kami juga bekerja keras dalam aspek itu,” ujarnya.

Sabah masih berbaki tiga perlawanan dalam pusingan pertama liga, didahului dengan dua pertemuan di Stadium Likas, Sabah menentang Terengganu FC (Jumaat) dan Perak FC (23 Mei) dan disusuli oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar, Kedah pada 2 Jun nanti.

347112427_631707238509748_432627404807893342_n

Sabah FC sedang menjalani persiapan menjelang aksi Liga Super berdepan Terengganu FC. Facebook/Sabah FC

Kim Swee menuntut pemain-pemainnya mendapatkan mata maksimum daripada dua perlawanan di tempat sendiri itu dengan mengekalkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang belum menyaksikan sebarang kekalahan musim ini.

“Sudah tentu saya akan berasa gembira jika kami dapat menghimpun sembilan mata daripada tiga perlawanan terakhir (pusingan pertama) ini.

“Ia tidak akan datang dengan mudah tapi kami akan berhabis-habisan untuk memenanginya satu demi satu.

“Biarlah kami fikirkan cara untuk berdepan Kedah di tempat lawan kemudian kerana aksi di luar memang menjadi kebimbangan buat kami,” katanya merujuk kepada kali terakhir mereka berkunjung ke tempat lawan yang disudahi dengan kekecewaan besar.

Daripada tiga kunjungan berturut-turut berdepan JDT (0-4), Kuala Lumpur City FC (0-2) dan Negeri Sembilan FC (1-1), mereka hanya membawa pulang satu mata.

“Tempoh rehat baru-baru ini membawa banyak perkara positif. Selain meluangkan masa untuk mereka yang cedera pulih kembali, pemain-pemain juga kembali daripada percutian dengan kelihatan amat bersemangat.

“Kita lihat saja nanti.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram