LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DI ANTARA gemar berseloroh dan suka berkias, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, sebenarnya memiliki ciri-ciri kedua-duanya.
Namun, kini ia disedarinya sebagai tidak pun menguntungkan sesiapa.
Diperbudak-budakkan 5-1 oleh Selangor FC, 18 April lalu, jurulatih berusia 56 tahun itu tampil dengan gurauan yang pemain-pemainnya ‘hanyut dan hilang’ dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu gara-gara sudah bercuti hari raya lebih awal – empat hari dari tarikhnya.
Kemudian, apabila terdedah pengakuannya sebagai berminat untuk membawa pulang Safawi Rasid dari kelab liga Thailand, Ratchaburi FC ke TFC, ia diandaikan tidak lebih sebagai jenaka kerana ramai beranggapan tidak mungkin perpindahan itu akan berlaku atas sebab-sebab yang nyata.
Sebenarnya, dalam kedua-dua keadaan itu, Steinbruckner atau lebih ringkas disapa Tomi, tidak pun berkelakar melainkan dia sudah disalahertikan kerana kedua-duanya mempunyai hubung kait.
Mengambil contoh kekalahan kepada skuad Gergasi Merah itu, yang disusuli tunduknya mereka kepada Sri Pahang FC 1-2 yang meleburkan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus pada 28 April, dia menyimpulkannya sebagai menyerlahkan mentaliti pemain-pemain tempatannya sendiri.
Skuad Sang Penyu tewas 1-2 di tangan Sri Pahang pada 28 April lalu. — Facebook/TFC
“Saya mungkin tidak menyatakannya sebelum ini tapi antara sebab kami sering dikecewakan ialah pemain-pemain tempatan enggan mengerah diri mereka keluar dari zon selesa,” kongsinya kepada Laptop Cabuk.
“Mereka suka mengambil mudah setiap perkara, seolah-olah kalau hendak menang, menanglah dan kalau hendak kalah, biarlah kalah.
“Saya harapkan lebih profesionalisme daripada pemain-pemain saya tapi ternyata ramai pemain tempatan yang mahu terus berada dalam zon selesa.
“Apa yang saya maksudkan ialah mereka selesa bergaji lumayan sebagai pemain bola sepak. Mereka malas untuk meningkatkan mutu permainan, berpuas hati dengan apa yang ada dan enggan berhabis-habisan,” tambahnya.
Ditanya pendedahannya itu mungkin mengeruhkan hubungannya dengan pemain-pemain tempatan dalam pasukan, Steinbruckner berkata, dia tidak boleh berpeluk-tubuh kerana sikap sedemikian akan membuat skuad Sang Penyu itu terus hanyut dan hilang dalam arus cabaran Liga Malaysia musim ini.
Graf turun-naik Terengganu FC selepas 10 perlawanan setakat ini harus mengeyakan pengamatannya itu kerana memulakan musim dengan dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, disusuli seri dengan KL City FC, ia memerlukan mereka empat perlawanan untuk meraih kemenangan pertama ke atas PDRM FC.
Tomi berpendapat sebahagian pemain tempatan enggan mengerah diri mereka keluar dari zon selesa. — Facebook/TFC
Kembali tewas kepada Negeri Sembilan FC sesudah itu, TFC melalui rentetan tiga kemenangan ke atas Kelantan United, Kelantan FC dan Kuching City FC – lawan dari kelompok bawahan – ketiga- tiganya di halaman sendiri.
Kekalahan kepada Selangor FC dan Sri Pahang PC kemudiannya, kata Tomi, harus membuka mata pemain-pemainnya untuk segera bangkit daripada lamunan agar dapat mengangkat TFC – naib juara Liga Super musim lalu – ke kedudukan lebih baik daripada terus mencetus kemarahan peminat.
“Atas sebab yang sama juga, saya mahukan Safawi. Selain memiliki ciri-ciri yang diperlukan pasukan, saya hormatinya sebagai seorang profesional yang sanggup berkelana ke Liga Portugal dan Liga Thailand untuk terus memperbaiki dirinya.
“Saya melihat dia sebagai pemain yang dapat menyuntik semangat kepada pemain-pemain tempatan TFC agar mencontohi kesanggupannya bekerja keras dalam menjadikan mereka pemain-pemain yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Steinbruckner turut mengakui ada mengajukan beberapa nama dalam perbincangan dengan pengurusan pasukan, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh, pada pagi Selasa lalu untuk dipertimbangkan dalam jendela perpindahan kedua Julai ini.
Terengganu antara pasukan yang dikaitkan dengan Safawi menjelang perpindahan kedua nanti. — Instagram/Safawi
Dia, bagaimanapun, enggan menyatakan sama ada Safawi, yang pernah bermain di bawah bimbingannya ketika bersama T-Team pada tahun 2015, adalah antara nama yang dikemukakan.
“Saya boleh sahkan yang kami ada berhubung dengan Safawi tapi kami tidak boleh berasa pasti yang dia akan datang kerana perkara itu di luar bidang kuasa kami. JDT lah yang boleh memutuskan kedudukannya selepas ini.
“Jika saya mempunyai pilihan dan kuasa untuk membuat keputusan, sudah tentu saya mahukannya tapi saya hanya boleh menanti perkembangan selanjutnya dan sekadar mengharapkan yang terbaik,” ujarnya.
TFC dijadual menghabiskan baki pusingan pertama ini dengan berhadapan Sabah FC (A) pada 19 Mei, Penang FC (H) pada 24 Mei dan Perak FC (A) pada 3 Jun nanti.
Menyasarkan peningkatan selanjutnya apabila Liga Super memasuki pusingan kedua bermula 9 Jun – TFC akan menerima kunjungan JDT ke Kuala Nerus – Steinbruckner menaruh satu harapan lain, yang didakwanya turut dikongsi oleh majoriti jurulatih.
Jadual perlawanan pasukan Terengganu pada Mei ini. — Facebook/TFC
“Saya harapkan pengadil, bukan untuk memihak kepada TFC, tapi lebih berlaku adil kepada kami kerana kami juga keciciran mata hanya kerana beberapa keputusan pengadil yang tidak konsisten.
“Selain itu, kami juga dinafikan beberapa sepakan penalti sedangkan jika kami melakukan kesalahan serupa, saya gerenti lawan kami akan diberikan sepakan itu,” katanya itu.
Kenyataan terakhirnya itu boleh difahami sebagai jauh daripada berseloroh, bukan pun satu gurauan, tiada niat untuk berkelakar, apatah lagi cubaan untuk berkias-kias. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,