PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa menerima kekalahan 2-5 dalam aksi persahabatan menentang Penang FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Ahad.
Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan antara KDA FC menentang Harimau Kumbang, namun, penyokong menganggap ia sebagai perlawanan sebenar antara dua pasukan tersebut.
Persahabatan itu diadakan untuk menguji corak permainan yang ditampilkan oleh Sang Kenari ketika tempoh rehat liga bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) bertanding di kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Aksi menarik perlawanan persahabatan Sang Kenari berdepan Harimau Kumbang. — Facebook/ Kedah Darul Aman FC
Menurut bekas jurulatih KDA FC, Mohd Azraai Khor Abdullah, perlawanan tersebut hanya aksi persahabatan untuk membangkitkan semangat barisan pemain Sang Kenari itu.
"Friendly game saja pun, tiada apa pun.
"Persahabatan itu dibuat adalah untuk meningkatkan keserasian antara pemain dan kalau kita tengok barisan yang dipamerkan adalah pemain yang bukan regular atau pemain utama," katanya kepada Majoriti.
Di samping itu, Azraai turut memberikan pendapat mengenai keputusan persahabatan itu tidak memberikan kesan kepada prestasi semasa pemain KDA FC itu sendiri.
Hal ini kerana, pemain yang beraksi ketika persahabatan itu bukanlah pemain utama KDA FC malah terdapat juga pemain simpanan yang turut diturunkan.
"Bagi saya keputusan itu tidaklah penting sangat kerana coach hanya nak keserasian dan ia tidak mencerminkan prestasi semasa pasukan itu apabila kalah dengan Penang FC," kongsinya.
Oleh itu, bagi bekas jurulatih KDA FC, perlawanan tersebut tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu peluang untuk mengukur tahap kebolehan barisan pemain yang diturunkan ketika itu.
"Mereka atur perlawanan persahabatan setelah lama berehat cuti dan ia hanya untuk tingkatkan stamina, keyakinan dan tahap kecergasan pemain," jelasnya.
Tambahan pula, pasukan KDA FC membuat satu aktiviti yang diberi nama Kem Pengukuhan bagi meningkatkan keserasian antara pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
KDA FC bakal menerima kunjungan daripada Kelantan FC untuk aksi perlawanan ke-11 Liga Super 19 Mei depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram