Kapten Melayu-Thai rebutan Kedah, TFC jadi sasaran ganti Herold Gouloun


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

Sebagai kapten Port FC, Elias (kanan) tentunya memiliki sifat kepimpinan di padang yang tinggi. — Instagram @eliasdolah4

BINTANG Thailand berketurunan Malaysia, Elias Dolah dilaporkan meninggalkan Port FC selepas kontraknya tidak disambung kelab berpangkalan di Bangkok itu.

Pemain pertahanan tengah tersebut bakal berstatus free agent menjelang 31 Mei depan yang menyaksikan khidmatnya boleh disambar kelab-kelab Liga Malaysia.

Nama Elias bukan asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan memandangkan dia pernah dikaitkan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim lalu apabila Sang Kenari kehilangan pemain Korea Selatan, Jang Suk-won.

16F65BBD-23EF-43F8-ABAF-2CF0681D7EA0

Elias memiliki ketinggian 1.96 meter. — Agensi

Secara teknikalnya, Elias yang merupakan kacukan Melayu-Thai di sebelah bapa dan Sweden di sebelah ibunya, boleh beraksi untuk Malaysia menggunakan faktor ‘heritage’ moyangnya yang berasal dari Kelantan.

Dengan reputasi Elias yang amat familiar dengan Liga Asia Tenggara, pemain berusia 30 tahun itu amat sesuai bermain di Liga Malaysia (Liga M).

Bahkan dengan jendela perpindahan kedua yang semakin hampir, dia dikatakan sudah menjadi rebutan KDA FC dan Terengganu FC yang bergelut di bahagian pertahanan.

Namun dengan ketinggian 1.96 meter yang dimilikinya, Elias nampak lebih sesuai sebagai pengganti tepat kepada tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC, Herold Goulon.

1599064

Elias merupakan pemain skuad kebangsaan Thailand. — Agensi

Dari segi sosok fizikal, dia memiliki ketinggian sama dengan tanker The Jang itu yang juga memiliki ketinggian 1.96 meter.

Terdahulu, Goulon dilaporkan mengalami kecederaan serius dan memerlukan pembedahan segera. Tentunya dengan situasi tersebut, NSFC perlu segera mencari pengganti Goulon bagi mengharungi baki kempen Liga Malaysia.

"Tahap kesihatan yang memburuk dan perlu melakukan pembedahan pada kadar segera mengakibat pemain import, Goulon terpaksa direhatkan dalam tempoh masa yang panjang. Perbincangan akan dilakukan bersama untuk mengesahkan statusnya bersama skuad Negeri Sembilan," ciapan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

Herold-Goulon-1

Goulon dikatakan mengalami kecederaan serius dan perlu menjalani pembedahan. — Facebook / NSFC

Namun, ada desas-desus mendakwa pemain berasal dari Perancis ditamatkan kontrak kerana mempunyai masalah disiplin, namun tiada pengesahan daripada pengurusan kelab.

Apapun situasi Goulon ketika ini, kelab perlu melihat masalah kelompangan di posisi benteng pertahanan yang ditinggalkan pemain berusia 34 tahun itu.

Dengan persembahan menyakinkan Elias bersama Port FC, ia boleh meletakkannya sebagai seorang pemain yang tepat untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan NSFC dengan ketiadaan Goulon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram