Bukan hanya Sang Badak, bekas MVP Liga M boleh jadi 'pintu rezeki' 2 kelab lain


  • Podium
  • Selasa, 16 Mei 2023

Hazwan Bakri pernah mendapat anugerah pemain paling bernilai (MVP) dan membantu skuad Selangor FC ketika itu menjuarai Piala Malaysia. — Facebook/Johor Southern Tigers

BEKAS pemain skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri atau lebih dikenali sebagai Hazwan Bakri sememangnya dikenali sebagai penyerang berbisa dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Malah, kegemilangan Hazwan bukan senario baharu dalam bola sepak negara apabila pada 2015, dia pernah mendapat anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dan membantu skuad Selangor FC menjuarai Piala Malaysia.

Selepas itu dia menyertai Johor Darul Takzim (JDT) dan berjaya meneruskan kecemerlangan apabila menjaringkan tujuh gol pada musim pertama.

Namun begitu, disebabkan faktor kecederaan, namanya mula disisihkan dan dia gagal menempatkan dirinya apabila jarang diturunkan sebagai pemain utama.

Apatah lagi pada waktu ini, pemain berasal dari Labuan itu hanya bermain di skuad simpanan Harimau Selatan, JDT II yang beraksi dalam saingan Piala MFL.

Dengan prestasi yang dikatakan hampir menyamai legenda bola sepak negara, Safee Sali, Hazwan sepatutnya bermain di skuad utama sekali gus masih mampu membuktikan ketajamannya di hadapan gawang lawan.

Sehubungan itu, pemain berusia 31 tahun berkenaan perlu berhijrah atau dipinjamkan kepada pasukan lain untuk memastikan dirinya tidak tenggelam dalam industri bola sepak negara.

Berikut adalah tiga kelab yang memerlukan seorang penyerang dan mampu memberikan ruang pada Hazwan untuk membuktikan dirinya semula:

1. Negeri Sembilan

337108551_959252758778208_5148154480050203044_n

Skuad kendalian jurulatih K. Devan ini sememangnya perlu mengukuhkan lagi jentera serangan untuk terus bersaing dalam aksi Liga Super. — Facebook/NSFC

Negeri Sembilan pada musim ini tampil dengan serba kekurangan berbanding musim lalu terutama sekali selepas beberapa pemainnya berpindah ke kelab lain.

Pada masa sama, skuad Hobin Jang Hobin itu turut dilihat hanya mempunyai lima sahaja pemain import pada awal musim ini Levy Madinda menerusi status pinjaman daripada JDT, Herold Goulon, Safuwan Baharudin, Leonel Vinicius serta Anselmo Arruda da Silva (Casagrande).

Jika melihat kepada barisan jentera serangannya, skuad kendalian jurulatih K. Devan ini sememangnya perlu mengukuhkan lagi jentera serangan untuk terus bersaing dalam aksi Liga Super.

Selain itu, pemain berketinggian 172 sentimeter itu boleh digandingkan dengan import Brazil, Casagrande untuk membantu memberikan nafas baharu pada pasukan tersebut di bahagian serangan.

2. Terengganu FC

2015198

Penyokong kurang berpuas hati dengan persembahan Ivan setakat ini. — Facebook/TFC

Walaupun menjadi naib johan Liga Super musim lalu namun Terengganu FC (TFC) tahun ini tidak berada di tahap prestasi yang memuaskan susulan hanya mampu memenangi empat kemenangan selepas 10 perlawanan.

Penyokong rata-ratanya berpendapat bahawa salah satu kelemahan yang mengganggu daripada skuad Penyu terus memberikan saingan adalah disebabkan ketumpulan pemain di jentera serangan seperti pemain import Croatia, Ivan Mamut.

Empat gol daripada lapan perlawanan belum cukup memuaskan hati penyokong skuad Penyu sehingga ada yang memaksa Ivan untuk mengundur diri pada jendela perpindahan musim kedua nanti.

Justeru itu, sebagai persediaan mencari pengganti Ivan, dengan pengalaman Hazwan di kelab gergasi seperti JDT menjadi titik tolak dia disebut sebagai pengganti sesuai untuk menggantikan penyerang tinggi lampai itu.

3. Sabah FC

1677790

Hazwan dikhabarkan akan dipinjamkan ke Sabah FC memandangkan dia berasal dari Labuan. — Facebook/Johor Southern Tigers

Pada ketika ini, desas-desus mengatakan pemain berketinggian 172 sentimeter ini akan dipinjamkan ke Sabah FC memandangkan dia berasal dari Labuan.

Selain daripada itu, skuad Sang Badak pastinya boleh menerima kehadiran bekas penyerang Selangor FC bagi digandingkan dengan Darren Lok.

Melihat kepada hubungan baik antara kedua-dua kelab dalam beberapa jendela perpindahan, terdapat kemungkinan persetujuan akan mudah dicapai untuk membantu menajamkan lagi jentera serangan mereka.

Kejayaan skuad Sang Badak untuk layak ke Piala AFC musim ini turut menguatkan lagi khabar angin berkenaan, lebih-lebih lagi sejak penyerang import, Jacob Njoku meninggalkan kelab Borneo itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram