Bekas penyerang NSFC, TFC imbau kenangan duduk berjiran dengan Lee Tuck


  • Podium
  • Isnin, 15 Mei 2023

Lee Tuck dan Bruno semasa di TFC. — Facebook

MOMEN ketika bersama-sama di kelab Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC (TFC) masih segar dalam ingatan penyerang kacukan Jepun-Brazil, Bruno Suzuki.

Peledak PDRM FC itu berkata, antara yang paling diingati ialah kenangannya bersama tonggak naturalisasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Tuck.

"Saya bersahabat baik dengan Lee Tuck sepanjang kira-kira tujuh tahun bermain di Liga Malaysia.

"Kami boleh jadi rapat sebab sama-sama tiba di Malaysia untuk bermain di Negeri Sembilan FC pada musim 2017," ceritanya dalam segmen 5 Minit Bersama di MFL.

1974658

Bruno sudah meledak dua gol dalam 10 penampilan bersama The Cops. — Facebook/ PDRM FC

Ketika ditanya apa keistimewaan Lee Tuck di matanya, Bruno mendedahkan bahawa pemain dari Halifax, England itu adalah cikgu bahasa Inggeris yang banyak membantu dalam komunikasi dengan rakan sepasukan.

"Dulu waktu mula-mula sampai di Malaysia, my English also zero, saya tidak faham dan bertutur langsung dalam bahasa Inggeris.

"Tapi Lee Tuck banyak ajar saya sampai saya boleh faham dan cakap sikit-sikit seperti sekarang," ceritanya lagi.

Tambahnya, ketika di Negeri Sembilan, mereka duduk berjiran.

"Rumahnya berdekatan dengan saya, jadi selalunya lepas latihan, kami suka pergi food hunting. Kami selalu bersama (buat macam-macam aktiviti).

lee tuck

Lee Tuck dan Bruno semasa di Negeri Sembilan FC bagi musim 2017. — Facebook/ Negeri Sembilan FA

"Kemudian kami berpindah ke Terengganu, dan hubungan persahabatan kami semakin rapat sebab hampir tiga tahun bersama di sana.

"Dia menjadi kawan baik saya kerana kami dalam satu pasukan yang sama selama empat tahun termasuk semusim di NSFC," katanya.

Bruno yang berusia 32 tahun berkata, dia sangat gemar bermain di Liga Malaysia.

"Saya suka main di sini, kalau saya tahu saya datang lebih awal ketika dalam lingkungan usia 20-an.

"Waktu itu saya tahu liga Jepun dan Singapura tapi kalau ada peluang saya nak main di sini lebih awal," katanya yang sudah meledak dua gol dalam 10 penampilan bersama The Cops.

PDRM FC ketika ini menghuni tangga ke-10 dalam carta Liga Super 2023 dengan sembilan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram