MENDUDUKI kedudukan terbaik dalam carta Liga Super musim ini bukan menjadi keutamaan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) ketika ini sebaliknya tertumpu kepada memantapkan mutu persembahan dan prestasi pasukan, kata ketua jurulatihnya, K Devan.
Meskipun pernah menghuni kelompok empat pasukan teratas pada musim lepas, Devan berkata, Skuad Jang kali ini perlu lebih realistik terutama apabila mempunyai keterbatasan pemain import berbanding pasukan lain.
"Kalau saya ada satu pasukan yang cukup dengan semua kuota (pemain import), mungkin saya akan kejar tempat teratas liga, tapi buat masa ini, kita akan tengok macam mana dan mengutip seberapa banyak mata yang boleh untuk pusingan pertama...kita fikir tentang kedudukan realistik pasukan.
"Lepas itu untuk pusingan kedua, kita tengok kepada kemampuan kelab untuk ambil pemain import dan cuba membuat sesuatu, sebab mata (dalam carta) pun tidak banyak beza dengan pasukan lain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Ahad.
NSFC meraikan keetelah menewaskan KL City FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Ahad. — Bernama
Devan berkata, kesungguhan dan komitmen pemain dalam padang selain kesemua pemain termasuk gantian mengikuti taktikal disiplin yang begitu baik sepanjang aksi semalam ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menewaskan skuad The City Boys 2-1.
Skuad Hobin Jang Hobin kini kekal di kedudukan kesembilan dengan 13 mata manakala KL City FC berada di tangga keenam dengan 15 mata.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kemenangan itu mungkin ‘menutup mulut’ pengkritik mengenai prestasi pasukan itu ketika ini, Devan berkata, dia enggan melayani pandangan pihak luar dan akan terus fokus membawa pasukan ke tahap lebih baik.
"Setiap orang ada pendapat masing-masing, tidak sama dengan saya, tetapi apa yang berlaku dalam pasukan, saya lebih tahu. Saya tidak kata pendapat mereka salah, yang penting sebagai jurulatih saya akan fokus dengan tugas saya,” katanya.
Mengenai perlawanan menentang PDRM yang dijadualkan pada 18 Mei ini, dia berkata, akan melihat semula kekuatan pasukan memandangkan perlawanan berkenaan berlangsung di tempat lawan.
"Kami mungkin akan guna taktikal sama atau ubah sedikit, sebab malam ini kami bermain di tempat sendiri, saya menggunakan tiga penyerang, tapi di tempat lawan nanti kami tengok situasi, tapi akan tetap letakkan tiga di belakang,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram