PADA Jumaat, kecoh mengenai masalah pengurusan ketika hari pemilihan bakat yang dianjurkan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Dalam beberapa luahan daripada ibu bapa di media sosial, mereka mengatakan kelab tersebut tidak menyediakan kemudahan di samping gagal menguruskan ratusan peserta.
Hal itu pastinya akan mencalarkan imej JDT sebagai salah sebuah pasukan terbaik tanah air memandangkan mereka berjaya mencatatkan kejayaan demi kejayaan setiap tahun.
Mengulas akan hal itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards menyatakan kehadiran orang ramai yang tidak dijangka menyebabkan perkara itu berbangkit.
Luahan seorang penjaga kepada peserta sesi pemilihan bakat JDT.
"Sebelum ini sesi percubaan hanya diadakan secara tertutup, namun percubaan semalam (Jumaat) dibuka kepada beberapa peringkat umur.
"Bagaimanapun, kehadiran adalah di luar jangkaan kerana ramai yang hadir untuk mendapatkan peluang menjadi sebahagian daripada satu-satunya akademi kelab bola sepak yang profesional sepenuh masa di negara ini.
"Kami kesal kerana kami tidak dapat mengawal kehadiran luar biasa ini jika dibandingkan dengan sesi percubaan sebelum ini," tulisnya menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi kelab.
Tambahnya lagi, JDT akan turut mengadakan sesi percubaan dengan lebih kerap dalam usaha mereka mengasah bakat-bakat baharu demi bola sepak tanah air.
"Akademi JDT akan mengadakan lebih banyak sesi percubaan selepas ini dan akan terus menghantar pencari bakat ke semua kejohanan remaja, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara bagi memastikan tidak ada bakat yang ketinggalan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram