SELEPAS hampir dua minggu berehat sempena temasya Sukan SEA 2023, Liga Super akan sekali lagi diteruskan dengan pertemuan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan United FC.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu itu menyaksikan pendahulu liga akan bertemu pasukan di tangga tercorot.
Bagi JDT, aksi itu pastinya peluang terbaik untuk mereka meneruskan rekod kemenangan ke-10 berturut-turut di samping mengukuhkan kedudukan mereka.
Ketajaman jentera serangan selain benteng pertahanan yang cukup kental sememangnya membuktikan kebolehan mereka untuk mengumpul tiga mata dalam setiap perlawanan.
Tekanan pula pastinya dirasakan Kelantan United memandangkan pasukan Pantai Timur itu masih menunggu untuk merekodkan kemenangan pertama mereka musim ini.
Selepas sembilan aksi Liga Super, skuad Kijang Hijau hanya mengumpul dua mata hasil dua kutipan seri ketika bertemu Kuching City FC dan Perak FC.
Di samping itu, mereka yang hanya menggunakan khidmat Nazrulerwan Makmor pastinya berdepan cabaran getir yang mana membuktikan kelab tersebut tidak memiliki jurulatih tetap sejak Tomas Trucha digugurkan.
Pengalaman Indra pastinya diharapkan dapat membantu skuad Kijang Hijau membuat kejutan. — Facebook/Kelantan United FC
Jadi, tidak hairanlah apabila tonggak Kelantan United, Indra Putra Mahayuddin memahami akan tugasan berat ketika aksi di tempat lawan itu.
"(JDT) memang merupakan pasukan yang dalam liga sendiri, kita tidak boleh nak mencabar mereka sebenarnya dan JDT ada jurang yang jauh dengan kelab-kelab lain.
"Saya rasa, apa yang membuatkan mereka kuat adalah dari segi penyokong dan suasana dalam stadium yang membuatkan mereka kuat," katanya kepada Stadium Astro.
Tambah bekas kapten skuad kebangsaan itu, keserasian antara rakan sepasukan dalam skuad Kijang Hijau semakin baik sejak sesi latihan diteruskan.
Ketika ini, Kelantan United masih buntu untuk mencipta jaringan dengan mereka hanya merekodkan lima gol setakat sembilan perlawanan.
Indra merupakan salah seorang daripada penjaring ketika aksi pembukaan Liga Super menentang Sabah FC menerusi satu sepakan percuma.
Tambah pemain berusia 41 tahun itu, usaha masih ditonjolkan pemain Kelantan United meskipun mengetahui jurang besar dari segi kualiti kedua-dua pasukan.
"Kami sendiri adalah pasukan kerdil, dan kita tahu akan kekuatan kami sendiri berlawan dengan jaguh Liga Super. Kita tahu sendiri kita akan kalah, tapi kita akan berusaha untuk pastikan yang kita boleh lakukannya," ulasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram