Tonggak muda Sang Penyu mahu lupakan penyingkiran awal Sukan SEA


  • Podium
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Skuad Piala MFL Terengganu FC mempunyai lambakan pemain muda yang mempunyai masa depan yang cerah. — Facebook/Terengganu FC

MESKIPUN skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara terpaksa pulang awal daripada Sukan SEA Kemboja, pertahanan tengah, Ubaidullah Shamsul pastinya tidak terlalu kecewa dengan prestasinya ketika temasya itu.

Pemain berusia 19 tahun itu berpeluang untuk diturunkan dalam kesemua empat perlawanan Kumpulan B dengan kebolehannya untuk membaca serangan lawan menerima pujian menggunung.

Katanya, persembahan memberangsangkan itu dilihat mampu menjadi batu loncatan untuknya beraksi dengan lebih baik di peringkat kelab, terutamanya ketika saingan Piala MFL.

"Saya sebenarnya tidak terlalu gembira dengan aksi saya ketika di Kemboja kerana saya tahu, saya perlu menambah baik kebolehan saya, terutamanya dalam aspek melakukan gerakan.

"Sukan SEA adalah pengalaman cukup baik dan saya mahu berterima kasih kepada 'coach' Ela (E Elavarasan) kerana memberi saya peluang untuk beraksi," katanya.

LVT-2861-4003-1652864505

Ubaidullah memainkan peranan penting sepanjang kempen Sukan SEA 2023. Agensi

Ubaidullah akan kembali bersama Terengganu FC II yang ketika ini berada di tangga teratas Kumpulan A Piala MFL dengan dia merupakan antara tonggak utama mereka.

Tambahnya lagi, dia turut berterima kasih dengan kehadiran rakan sepasukan sepanjang kejohanan itu yang sedikit sebanyak membantunya.

"Pemain seperti Harith (Haiqal) banyak membimbing saya sepanjang Sukan SEA, sering berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain.

"Tetapi, kami tahu bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik. Kami dibolosi sebanyak lima kali dalam empat perlawanan, yang mana bukanlah satu perkara yang memuaskan hati," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluangnya untuk beraksi bersama skuad senior Sang Penyu, Ubaidullah menegaskan dia hanya mahu memberi sepenuh perhatian kepada tempoh perkembangannya bersama Terengganu FC II.

"Saya akan fokus kepada Piala MFL dan membantu pasukan untuk menang. Tempat saya dalam Liga Super akan tiba apabila saya sudah betul-betul bersedia.

"Tiada makna untuk saya sertai pasukan utama, tetapi tidak dapat beraksi. Saya lebih sanggup untuk terus berada dalam skuad Piala MFL," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram