PELUMBA negara, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki berlatih sepanjang Ramadan dan juga pada Hari Raya, meninggalkan isteri dan dua anaknya yang masih kecil untuk menghadiri kem latihan di Thailand.
Pengorbanan yang dilakukannya membuahkan hasil apabila berjaya memperolehi emas berharga dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki individu yang berlangsung di Angkor Wat, Kemboja.
Pelumba negara berusia 31 tahun itu meneruskan prestasi cemerlang apabila membawa pulang pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya kriterium lelaki pada Khamis dan mengenggam emas untuk kategori lebuh raya individu sejauh 150 kilometer (km) di Siem Reap pada Jumaat.
Kemenangan dalam perlumbaan itu lebih bermakna kerana pasukan Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara tersebut yang dimenangi oleh Nur Aiman Mohd Zariff di Hanoi tahun lalu.
Amirul menyifatkan kemenangannya di Siem Reap adalah kemenangan berharga buat dirinya kerana pengorbanan yang dilakukan sepanjang Ramadan tidak sia-sia.
Menurut Nur Amirul, pengorbanannya meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun untuk menyertai kem latihan ternyata berbaloi apabila berjaya merangkul dua pingat untuk negara.
"Perkara yang paling menyakitkan ialah terpaksa meninggalkan dua anak kecil saya dan tidak bersama keluarga pada Ramadan. Saya berazam untuk membawa kejayaan kepada pasukan Malaysia.
“Secara fizikal dan mental, saya perlu berada dalam keadaan terbaik.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Ini adalah pingat emas terbesar untuk kayuhan jalan raya,” kata Amirul dari Pasukan Berbasikal Poligon Terengganu.
Kayuhan bertenaga yang dipamerkan Nur Amirul sukar digugat peserta lain seterusnya memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.
Pingat perak pula dimenangi peserta dari Indonesia, Aiman Cahyadi dan wakil dari Filipina, Ronald Oranza membawa pulang gangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram