Tinggal selangkah, impian pemain warisan sarung jersi HM semakin menjadi kenyataan


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Richard bersama pasukannya Charlton meraikan gol kemenangan.

PEMAIN warisan, Richard Chin yang ketika ini bermain dalam Liga Divisyen Tiga Inggeris, League One dikatakan bakal memperkuatkan skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial Instagram rockmgmt, kelihatan kapsyen yang mengatakan mengenai Richard yang bakal ke Malaysia pada 17 Mei nanti.

Terdahulu, Richard Chin mengejutkan peminat bola sepak tanah air selepas membuat debut dalam Liga Inggeris, League One EFL.

WhatsApp Image 2023-05-12 at 15.03.57

Richard Chin dikhabarkan bakal membantu skuad kebangsaan. Instagram/richardchin

Difahamkan, pemain pertahanan tengah itu semakin kukuh bersama kelabnya iaitu Charlton Athletic dan disambungkan kontrak selama semusim lagi bagi membantu benteng pertahanan pasukannya itu.

Sebelum ini, melalui agensinya, Rock Sports Management memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pemain kacukan Malaysia-Seychelles itu berhasrat untuk menyarungkan jersi kebangsaan jika mempunyai peluang pada masa akan datang.

Pemain berusia 20 tahun itu dikatakan mampu membantu skuad kebangsaan dengan kelebihannya ketika bermain liga luar negara dapat diterapkan bersama pasukan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 Qatar.

Pemain berketinggian 1.78 meter itu membuat penampilan sulung di Charlton menerusi Papa John's Trophy dengan kemenangan jaringan 1-0 ke atas Leyton Orient pada November 2021 dalam penampilan tunggalnya musim lalu.

Sebagai rekod, ketika Richard Chin beraksi bersama Charlton Athletic,dia diberikan peluang bermain selama 72 minit ketika kelab itu seri 1-1 dengan East Green di Stadium Valley di London.

Kehadirannya untuk bermain bersama skuad kebangsaan pastinya amat menggembirakan penyokong tempatan kerana kelebihan fizikal dan teknikal yang boleh membantu dalam mencetak gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram