WALAUPUN berada pada tangga tercorot carta Liga Super 2023, namun ia bukan penghalang pasukan Kelantan United FC (KUFC) untuk berjuang habis-habisan memburu tiga mata berharga.
Dalam sembilan perlawanan berlangsung, skuad KUFC gagal mendapatkan sebarang kemenangan berikutan corak permainan yang ditampilkan amat mengecewakan penyokong mereka.
Pasukan di bawah bimbingan Tomas Tucha hanya berjaya merekodkan lima jaringan sahaja selain dibolosi 15 gol keseluruhan.
Skuad KUFC dalam sesi latihan dilihat cukup bersedia menentang JDT. — Kelantan United FC
Tekanan semakin dirasai apabila Sang Kijang Hijau bakal berdepan situasi getir apabila menjadi pelawat di Stadium Sultan Ismail (SSI) menjelang perlawanan ke-10 Liga Super pada Sabtu.
Pasukan KUFC tentunya merasakan tekanan yang tinggi apabila perlu beraksi di venue yang dikatakan sering meninggalkan mimpi ngeri buat mana-mana pasukan sebagai pelawat.
Pastinya bukan satu jalan yang mudah untuk membawa pulang tiga mata penuh di tempat lawan apabila skuad Sang Kijang Hijau itu bakal berhadapan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).
Oleh itu, salah seorang penyokong KUFC di laman media sosial Instagram memberikan pendapat agar menggunakan sistem bertahan iaitu strategi 'parking bas' agar dapat mempertahankan benteng pertahanan mereka daripada dibolosi.
Hal ini kerana, pasukan PDRM FC menggunakan strategi tersebut yang dikatakan berkesan apabila JDT hanya berjaya mencetak satu gol kemenangan dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 19 April lalu.
"Jangan takut lawan JDT, KU kena main secara parking bas, jangan bagi bolos lepas itu main serang balas, Insya-ALLAH akan hancur kekebalan JDT," kata peminat_bola_global.
Namun begitu, ada beberapa penyokong memberikan pendapat yang berbeza agar tidak melakukan sistem tersebut kerana dianggap sebagai kurang profesional.
"Itulah macam JDT tiada idea dan kreativiti mereka tersendiri. Skuad kita ini kena cari idea cara agar boleh masuk dalam kawasan mereka," kata _amriey.
"Bukan tak boleh, kalau main dengan cara parking bas team susah nak berkembang, kita nak rasa peningkatan skill dalam team lagi-lagi bila jumpa JDT baru seronok tengok bola ada fight antara dua team, baru lah boleh pergi Asia, harapnya macam itu," kata balqishh_iss. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram