[VIDEO] Jurang Selangor-Perak semakin besar, bahang El Clasico Malaya dikhuatiri makin hilang


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Kegusaran mula timbul mengenai sambutan orang ramai terhadap perlawanan antara Selangor-Perak pada 20 Mei nanti.

PERNAH digelar perlawanan 'El Clasico Malaya' satu ketika dahulu berikutan mempunyai persaingan kuat antara kedua-dua penyokong pasukan.

Kini, di zaman digital, permusuhan kedua-dua pasukan bola sepak tempatan dapat dilihat lebih perlahan dan banyak berkasih sayang, maka tidak mustahil sentimen itu akan pudar hilang ditelan zaman.

Sebelum ini, bekas pengendali Perak FC, Karl Heinz-Weigang juga menyedari akan permusuhan ini yang menyebabkan pasukan di bawah bimbingannya dikerah untuk bermain bermati-matian dalam setiap pertemuan.

perak fc lead el

Perak FC berada di tangga ke-11 dalam saingan Liga Super 2023.

Hal ini dapat dilihat semasa pentas akhir Piala FA 1990 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan penyokong kedua-dua pasukan memeriahkan suasana sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, mengikut pengalaman yang diceritakan oleh bekas kapten yang juga legenda skuad The Bos Gaurus (TBG), Azizol Abu Haniffah, sebelum perlawanan akhir Piala FA 1990, Perak lebih berseteru dalam bola sepak dengan pasukan Johor, Kedah dan Selangor yang dikatakan pencabar utama ketika itu tetapi sukar untuk Perak menundukkan pasukan gergasi tersebut.

Walaupun The Red Giant bermegah dengan jersi nombor 10 pemain seperti Safee Sali dan Mokhtar Dahari, Seladang pula masyhur dengan nombor 12 iaitu Azizol Abu Haniffah.

Perlawanan bola sepak yang melibatkan kedua-dua negeri itu sentiasa mendapat perhatian penyokong kedua pasukan serta pemerhati bola sepak negara. Selangor dan Perak terbukti antara negeri yang berjaya melahirkan ramai bintang bola sepak Malaysia satu ketika dahulu.

Permusuhan kedua pasukan itu sering menghangatkan kancah bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu disebabkan kredibiliti pasukan di dalam dan luar padang.

Terdapat beberapa penyokong memberikan pendapat mereka mengenai sentimen rival itu yang mana tidak perlu digunakan lagi berikutan persaingan antara pasukan tidak sengit.

"Sekarang nak kata rival pun malu-malu sudah, pasalnya team kita belum mampu bersaing lagi," kata Labon Bola.

"Tidak payah nak rival sampai gaduh-gaduh, provokasi, nabi lebih pentingkan adab, itu yang betul, lebih banyak berkasih sayang," kata Hulu Balangkuih.

Namun, dengan jurang yang cukup besar di antara kelab itu ketika ini, kegusaran mula timbul mengenai sambutan orang ramai terhadap perlawanan pada 20 Mei itu.

Pasukan Perak FC bakal menerima kunjungan pasukan Selangor FC dalam perlawanan minggu ke-11 pada 20 Mei di Stadium Negeri, Perak dalam aksi perlawanan saingan Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram