'Saya rindu solat tarawih berjemaah', Khalid Ali bakal ketahui tahap kanser dihidapi minggu depan


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Khalid sebelum ini aktif menjadi pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan. — Facebook/ FAM

SIAPA sangka pemain yang dulunya pernah membantu negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 dan aktif mengkritik perkembangan semasa bola sepak tempatan, Khalid Ali Hassan kini sedang diuji dengan sesuatu yang tidak diduga

Legenda pasukan Selangor itu baru-baru ini meraih perhatian penyokong bola sepak tanah air apabila disahkan menghidap kanser paru-paru dan kini sedang menunggu keputusan sama ada penyakitnya masih di peringkat awal atau mencecah garisan kritikal.

Bercakap dengan Majoriti, Khalid Ali mengakui selepas diuji dengan penyakit berkenaan, beliau sudah tidak dapat membuat aktiviti seperti dahulu terutamanya melakukan ibadah kegemarannya di bulan Ramadan.

Menurut Khalid, keadaannya kini yang sudah tidak secergas dulu menghalangnya untuk melakukan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid, selain terpaksa meninggalkan rutin bersenamnya.

“Salah satu yang saya rindu ialah tak dapat nak tarawih. Jadi saya buat di rumah saya. Saya sekarang cepat penat. Kedua, Saya tak dapat nak bersenam. Saya minat main golf, tapi sekarang agak sukar nak lakukan. Kata doktor boleh nak buat tapi tengok keputusan nanti. Apa rawatan yang mereka nak buat.

“Sekarang saya masih kurang sihat. Proses rawatan belum mula lagi, 10 April ini baru tahu keputusan dan rawatan yang perlu dilakukan serta tahap kanser yang saya hadapi,” katanya kepada Majoriti.

Tanggal 10 April itu merupakan hari Khalid akan berjumpa dengan doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mengetahui keputusan mengenai tahap kanser yang dihidapi sebelum memulakan proses rawatan.

khalid ali dalam

Khalid mengalami penyusutan berat badan mendadak sebanyak 17 kg dalam tempoh satu setengah bulan. — Arena Metro

Apa yang membuatkan Khalid terharu ketika menerima ujian berkenaan adalah menyedari ramai rakan-rakan seperjuangannya mengambil berat terhadap keadaannya sehingga ada yang datang melawat ke rumah bekas pemain berusia 65 tahun itu.

Malahan, bekas tonggak Kuala Lumpur itu turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang membantu menguruskan dan menampung rawatannya.

“Boleh dikatakan hari-hari datang melawat. Saya baru tahu kawan ramai. Ada yang WhatsApp dan telefon. Antaranya bekas pemain Selangor iaitu seperti Kamarul Zaman Yusoff, pengurusan pihak bola sepak Selangor FC. FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) pun nak datang melawat nanti. Saya tak sangka ramai doakan saya.

“Proses untuk saya buat pemeriksaan dikendalikan Yakeb, malahan Datuk Noorul (Pengerusi Yakeb) mengambil saya dari rumah untuk dibawa ke hospital. Tiap kali buat rawatan, mereka ada. Saya rasa teruja dengan servis mereka, lebih daripda membantu. Mereka memberi saya semangat,” tambahnya.

. Majlis penyerahan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Salahuddin Che Rose oleh Venthill Group dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan dan Majoriti. KAMARUL ARIFFIN/The Star.

Noorul Ariffin berkata, Yakeb akan membantu menampung kos rawatan Khalid.

Dalam pada itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya akan cuba untuk merujuk Khalid ke Institut Kanser Negara (IKN) bagi mendapatkan rawatan bantuan namun perkara itu boleh dilaksanan selepas mengetahui keputusan pada 10 April ini.

“Kami bantu dia sejak 22 Mac, bermula dari pemeriksaan. Kami sangka batuk biasa saja, jadi saya bawa ke Hospital Selayang. Kami dapati ada ketumbuhan dalam paru-paru. Selepas dihantar ke PPUM baru dikenal pasti dia sakit.

“Sejak tarikh itu sehingga Isnin ini memang kami tanggung kos perubatan. Dan selepas ini masa rawatan sepenuhnya pun, kami akan tanggung. Kami akan dapatkan bantuan IKN selepas mengetahu perkembangan Khalid,” kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram