Legenda Perancis optimis De Gea masih mampu jadi penjaga gol utama Man United


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

The Red Devils berminat untuk mengikat De Gea dengan syarat baharu. — Agensi

DAVID De Gea bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu di Manchester United tetapi berkemungkinan akan kehilangan posisi utamanya sebagai penjaga gol nombor satu pasukan itu.

Perjanjian semasa pemain Sepanyol itu akan tamat pada penghujung Jun dengan The Red Devils berminat untuk mengikatnya dengan syarat baharu.

De Gea melakukan beberapa kesilapan berprofil tinggi musim ini dan terdapat khabar angin mengatakan bahawa United sedang mencari penggantinya walaupun tonggak kebangsaan Sepanyol itu dilaporkan sudah menandatangani perjanjian baharu.

Media England, Daily Telegraph mendakwa De Gea bersetuju dengan syarat kontrak baharunya di United untuk kekal walaupun bukan sebagai bukan penjaga gol utama.

Penjaga gol itu menerima perjanjian yang mana menyatakan bahawa dia akan menerima gaji asas yang lebih rendah dan akan mendapat insentif untuk perlawanan yang dimainkan.

Dia kini menerima gaji yang lebih rendah tetapi kontrak baharu mungkin tidak akan memberi jaminan tempat dalam pasukan utama di skuad The Red Devils pada musim depan.

Dean Henderson yang pernah mengambil posisi De Gea sebagai pemain nombor satu di pasukan itu pada musim 2020-21, adalah salah satu calon untuk menggantikan tonggak berusia 32 tahun itu apabila dia kembali daripada perpindahan pinjamannya ke Nottingham Forest.

Namun, legenda pertahanan United, Mikael Silvestre berpendapat Henderson belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol nombor satu pasukan tersebut.

“Dia (Henderson) masih belum mempunyai ciri-ciri sebagai ketua. Sifat kepimpinan sangat penting untuk penjaga gol, bukan hanya bagus dari segi teknikal.

“Seorang penjaga gol perlu sentiasa mempunyai peranan sebagai ketua dalam pasukan,” katanya.

Mengenai prestasi buruk De Gea baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan Perancis itu menambah bahawa pemain tersebut boleh bangkit daripada kesilapannya dan kembali menjadi seorang penjaga gawang yang baik.

“Sebagai pemain, anda akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bangkit tetapi sebagai penjaga gol sentiasa ada risiko untuk bolos apabila pihak lawan menguasai bola.

“Tetapi saya fikir David De Gea mempunyai kekuatan untuk kembali menjadi hebat. Tetapi dia perlu melakukannya dengan pantas kerana penting bagi pemain untuk mempercayai penjaga gol mereka bagi menjadikan pasukan menjadi lebih yakin.

“Penjaga gol adalah orang terakhir yang berdiri dan perlu dipastikan bahawa dia tidak melakukan kesilapan seperti ini. Jika tidak, ia akan merosakkan momentum pasukan. Saya fikir dia boleh melakukannya tetapi sangat penting untuk dia berhenti daripada meratapi kegagalan itu dan kembali memberi persembahan mengagumkan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram