ATLET karate wanita negara, C Shahmalarani yang bertanding dalam kategori Kumite bawah 50 kilogram (kg) menghadirkan momen manis kepada kontinjen Malaysia selepas meraih pingat emas Sabtu lalu.
Kejayaan tersebut diraih selepas atlet berusia 25 tahun berkenaan menewaskan wakil dari Filipina, Junni Tsuki yang merupakan Juara Dunia 2022.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Utama Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh, Kemboja, Shahmalarani mempertahankan pingat emas yang dibawa pulang dari Sukan SEA Hanoi 2021.
Pulangan itu membolehkan kontinjen negara bermula dengan langkah kanan dalam temasya sukan dwitahunan terbabit yang mana ia merupakan pingat emas pertama.
Namun, kejayaan Shahmalarani itu hadir dengan kontroversi tersendiri apabila lawannya, Tsuki mengeluarkan kenyataan mempersoalkan mutu pengadilan dalam acara final itu.
Tsuki jelas berang dengan kekalahan yang dialaminya di pentas final kumite Bawah 50kg Sabtu lalu. — Facebook/Rappler
"Saya yakin yang saya lebih aktif berbandingnya, saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kalangan pengadil perlawanan. Jadi, saya memang tidak gembira walaupun menang pingat perak," katanya kepada media antarabangsa.
Atlet yang berdarah kacukan Jepun-Filipina itu turut mengatakan mata yang diberikan kepada Shahmalarani juga adalah silap dan tidak berdasarkan peraturan sebenar sukan karate.
"Pada saat-saat akhir, dia tidak melakukan serangan. Saya menyerang sebanyak dua kali dan dia hanya bertahan, tetapi mata diberikan kepadanya.
"Tetapi, dalam peraturan karate, kami tidak boleh melakukan sebarang protes mengenai pengadil. Jika perkara lain, mungkin boleh tetapi tidak mengenai pengadil," jelasnya.
Mac lalu, kedua-dua atlet berkenaan pernah berentap dalam gelanggang yang sama ketika kejohanan Persatuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang dimenangi Tsuki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram