SAINGAN Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja menyaksikan pelbagai acara dipertandingkan dan kontinjen negara menyasarkan 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada temasya yang bermula 5 hingga 17 Mei itu.
Seperti biasa, acara bola sepak lelaki negara akan menjadi sukan tumpuan, selain ramai penyokong berharap skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) bakal membawa pulang ‘ibu segala emas’ pada temasya dwitahunan itu.
Skuad B-22 negara ketika sesi latihan sebagai persediaan menentang Vietnam pada Isnin. — Facebook
Harimau Muda yang baru sahaja tewas 0-2 di tangan Thailand dalam aksi kedua kumpulan Sukan Sea Kemboja 2023 pada Sabtu diharapkan segera melupakan kisah pahit itu dan sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan menentang Vietnam pada Isnin ini.
Jika pasukan B-22 negara dapat membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA kali ini, anak-anak buah E. Elavarasan menjadi skuad ketiga memenangi kejohanan itu selepas kali terakhir menyaksikan Malaysia meraihnya pada 2011.
Kim Swee merupakan pengendali yang berhasil memberi emas buat pasukan B-22 negara ketika Sukan SEA 2011 di Jakarta. — Facebook
Datuk Ong Kim Swee merekodkan sejarah apabila berjaya mengemudi pasukan negara meraih emas di temasya Sukan Sea edisi 2011 selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia melalui tendangan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.
Selepas 12 tahun, detik kejayaan Harimau Muda itu masih menjadi antara kenangan manis buat penyokong bola sepak tempatan dan pastinya ada yang tertanya-tanya dimanakah keberadaan pemain yang menjadi wira negara di Stadium Gelora Bung Karno tersebut.
Berikut adalah pemain yang beraksi sebagai kesebelasana utama dalam perlawanan akhir Sukan SEA 2011 Jakarta;
1) Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi kini sedang beraksi bersama skuad The Rhinos. — Facebook
Pemain yang bertanggungjawab mengawal benteng terakhir skuad kebangsaan ketika itu, Khairul Fahmi Che Mat menampilkan persembahan cukup cemerlang apabila tidak membiarkan pasukan tuan rumah berpesta gol sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Pemain yang pernah beraksi bersama Kelantan FA, Melaka United dan Harimau Muda A itu kini beraksi sebagai penjaga gol utama Sabah FC sejak menyertai skuad The Rhinos pada musim 2022.
2) Mahali Jasuli
Mahali beraksi sebagai penyerang bersama skuad Jang pada musim ini. — Facebook
Persembahan cemerlang Mahali Jasuli yang memainkan peranan sebagai tonggak pertahanan Malaysia ketika itu berhasil menarik minat Selangor FA untuk menandatanganinya pada musim 2013 sebelum berhijrah ke skuad Johor Darul Takzim (JDT).
Pemain yang pernah memenangi Piala AFC pada 2015 bersama skuad Harimau Selatan itu kini masih menjadi kesebelasan utama dalam pasukan baharunya iaitu Negeri Sembilan FC (NSFC) di saingan Liga Super.
3) Zubir Azmi
Zubir hanya beraksi selama semusim bersama skuad TRW. — Facebook
Zubir Azmi merupaka antara pemain bek kiri terbaik ketika Sukan SEA 2011 yang mana ketika kejohanan tersebut, tonggak kelahiran Jerteh, Terengganu itu cemerlang mematahkan serangan pihak lawan.
Selepas menyarung jersi Terengganu, Pahang, Sabah, pemain berusia 31 tahun itu kini menyumban pengalamannya dengan memperkuatkan benteng pertahanan pada musim 2022 sebelum skuad The Red Warriors (TRW) memutuskan untuk menyingkirkan Zubir bagi Liga Super 2023.
4) Fadhli Shas
Fadhli merupakan tonggah baharu Sri Pahang pada musim ini. — Facebook
Selepas beraksi cemerlang untuk negara pada kejohanan Sukan SEA 2011, Fadhli Shas pernah membuat kejutan apabila dinamakan sebagai bek tengah terbaik Asia untuk kategori bawah 23 tahun oleh goal.com
Musim ini, nama Fadhli semakin disebut-sebut apabila turut tampil cemerlang mengemudi pertahanan Sri Pahang FC selepas skuad Tok Gajah merekrut khidmat pemain berusia 31 tahun itu dengan kontrak dua tahun bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.
5) Asraruddin Putra Omar
Akibat cedera, Asraruddin memutuskan untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional. — Facebook
Asraruddin Putra Omar merupakan pemain yang menjaringkan gol penyamaan Malaysia pada akhir Sukan SEA itu dan sekali gus menjadi individu yang mendiamkan seluruh penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Selepas menabur bakti bersama pasukan Selangor, JDT serta Penang FC, pemain berusia 35 tahun itu mengumumkan persaraan akibat kecederaan dan kini aktif beraksi bersama Kelana United di dalam liga sosial yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
6) Muslim Ahmad
Sejak kemasukan beberapa pemain baharu, Muslim jarang diturunkan oleh pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad. — Facebook
Bek tengah, Muslim Ahmad juga sering menjadi pilihan utama Kim Swee dan kepercayaan pengendali tersebut dibalas dengan memberikan persembahan konsisten sepanjang kejohanan Sukan SEA 2011 itu.
Walaupun sudah melepasi karier kemuncaknya, namun pemain berusia 34 tahun itu masih menjadi antara pilihan dalam skuad Tok Gajah dan dia juga merupakan ketua pasukan Sri Pahang terutamanya pada musim 2022.
7) K Gurusamy
Gurusamy sering mengisi kesebelasan utama skuad kebangsaan. — Facebook
Pemain yang sering mendapat panggilan kebangsaa, K Gurusamy sering diberi kepercayaan untuk mengisi slot posisi pemain tengah bertahan dan stamina tinggi menjadi sebab dia selalu mengisi kesebelasan utama pasukan.
Pemain berusia 34 tahun itu pernah mewakili negeri kelahirannya dari tahun 2012 sehingga 2015, sebelum menyertai Sarawak pada 2016 dan kali terakhir Gurusamy beraksi di saingan Liga Super adalah ketika menyertai pasukan Petaling Jaya (PJ) CIty FC.
8) Baddrol Bakhtiar
Baddrol ketika menjadi kapten pasukan Harimau Muda. — Facebook
Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Baddrol Bakhtiar merupakan ketua pasukan Sukan SEA 2011, selain penalti terakhir daripada Kapten Marvel itu sudah cukup mengesahkan kemenangan Malaysia ketika itu.
Selepas setia bersama pasukan Kedah selama hampir 16 tahun, pemain legenda Sang Kenari itu memutuskan untuk berhijrah ke Sabah FC bagi bersatu semula dengan bekas pengendalinya, Kim Swee pada musim 2022.
9) Irfan Fazail
Irfan masih aktif beraksi di peringkat Liga Super dengan menyertai skua The Rhinos. — Facebook
Irfan Fazail merupakan produk Harimau Muda yang boleh bermain di jentera serangan seperti sayap serta tengah dan ketika Sukan SEA 2011, pemain kelahiran Pontian, Johor itu banyak diletakkan di bahagian sayap kiri.
Bekan pemain JDT itu juga kembali bergabung dengan bekas jurulatihnya di Harimau Muda, Kim Swee dengan menyertai skuad The Rhinos pada musim 2022.
10) Ahmad Fakri Saarani
Ahmad Fakri kini beraksi bersama Kelana United di dalam liga sosial. — Facebook
Walaupun Ahmad Fakri Saarani gagal menyempurnakan sepakan yang diambil ketika Sukan SEA 2011 namun tidak dapat dinafikan pemain kelahiran Pangkalan Chepa itu merupakan antara prospek skuad bola sepak kebangsaan.
Kali terakhir Ahmad Fakri dilihat beraksi dalam saingan Liga Super adalah ketika menyarung jersi skuad Warga Kota dan pada tahun lalu, pemain itu mewakili Kelana United FC dalam Liga Selangor.
11) Thamil Arasu
Thamil (tengah) ketika mewakili skuad kebangsaan. — Facebook
Produk Harimau Muda, Thamil Arasu merupakan seorang penyerang tinggi lampai dan sering membantu rakan sepasukan untuk melakukan gerakan ke pintu gol lawan.
Kali terakhir muncul dalam saingan tertinggi Liga Malaysia ialah ketika menyarung jersi PJ City FC dan difahamkan kini pemain berusia 31 tahun itu berada dalam skuad Liga M3, Harini Kuala Selangor FC.
Selain daripada 11 tonggak berkenaan, terdapat lapan pemain lagi yang tersenarai sebagai pemain gantian dan mereka ialah Mohd Amer Saidin, Fandi Othman, Wan Zaharulnizam, Shukur Jusoh, Yong Kuong Yong, Syahrul Azwari, Thamil Arasu, dan Izzaq Faris. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram