PENJAGA gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang digugurkan daripada skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara ke Sukan SEA Kemboja akibat kecederaan, menerimanya sebagai ujian sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
TIdak ingin meratapi terlalu lama dugaan tersebut, pemain berusia 22 tahun itu mahu fokus untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum Liga Super kembali bersambung selepas berakhir temasya dwitahunan itu.
Rahadiazli berkata, dugaan sentiasa menimpa dirinya setiap kali dipanggil ke skuad kebangsaan kerana sebelum ini namanya digugurkan daripada skuad Harimau Malaya selepas positif Covid-19.
Terbaharu, pemain yang mesra dengan panggilan Abey itu sekali lagi diuji apabila mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan, sekali gus terpaksa melupakan hasrat ke Kemboja.
Situasi itu bagaimanapun tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus bekerja keras, terutama dalam usaha membantu kelabnya kembali ke kedudukan yang lebih baik di pentas Liga Super.
“Situasi macam ini saya sudah selalu lalui sejak berumur 19 tahun lagi. Setiap kali ke skuad kebangsaan, pasti ada sahaja yang tak kena.
“Tak kisah benda kecil atau besar, pasti ada sesuatu akan terjadi macam sekarang ini, tetapi saya anggap ia sebagai ujian dan saya juga kena sentiasa perbaiki diri," katanya kepada MFL.
Perkongian dari Muhammad Rahadiazli mengenai keadaan tangannya. — Instagram/Rahadiazli
Pemain kelahiran Terengganu itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan tersebut kerana ia adalah peluang terakhir buatnya untuk beraksi dalam Sukan SEA.
“Berasa kecewa sebab saya tahu ini adalah Sukan SEA yang terakhir dan saya nak perbaiki balik apa yang pernah jadi ketika di Singapura (Piala Merlion) lepas.
“Apabila keputusan X-ray keluar, saya sudah tahu tak dapat untuk ke Sukan SEA. Saya tidak mahu fikir apa-apa, hanya nak cepat pulih sahaja,” kongsinya.
Tambahnya, kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius dan dijangka pulih dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu, selain positif kembali beraksi dalam kesebelasan utama.
Skuad Malaysia B-22 ketika menjulang Piala Merlion 2023 di Singapura — Facebook/ FAM
Tempoh rehat ketika ini sebelum sepak mula bersambung pada 19 Mei ini sekurang-kurangnya dapat memberikan lebih masa kepada dirinya untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan yang lebih baik.
“Kecederaan saya ini tidak teruk sangat cuma sekarang ada rasa tak selesa di bahagian jari dan kecederaan ini tidak akan lama.
“Apa yang penting, ia tidak ambil masa lama untuk pulih sepertimana yang saya pernah kena ACL sebelum ini dan terpaksa berehat lama.
“Cuma awal-awal doktor cakap ada sedikit retak dan tulang ada sedikit terkehel, tetapi sekarang Alhamdulillah semakin baik,” katanya.
Terengganu FC yang kini berada di tangga kelapan dengan 13 mata akan berkunjung ke Stadium Likas pada 19 Mei ini untuk aksi Liga Super menentang Sabah FC. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram