Roypy, 5 lagi legenda Kelantan kongsi sebab kejatuhan empayar TRW


  • Podium
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Kehebatan Zairul sebagai pemain pertahanan kiri cukup penting buat zaman kegemilangan Kelantan FA.

KELANTAN FC pada hari ini seolah-olah tidak lagi boleh dianggap sebagai pencabar kepada takhta Liga Super memandangkan standard mereka yang masih jauh ketinggalan.

Prestasi di atas padang yang hanya mengumpul empat mata daripada 10 perlawanan sememangnya membuktikan masih terdapat pelbagai penambah baikan perlu dibuat.

Masalah pengurusan juga terus membelenggu kelab Pantai Timur itu yang dikatakan masih memerlukan suntikan dana yang besar bagi tujuan penubuhan fasiliti.

Jadi, dengan kecanggihan serta langkah progresif yang mula diambil pasukan-pasukan lain, Kelantan FC seperti memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk memburu kejuaraan.

Namun, tahukah anda bahawa skuad The Red Warriors (TRW) pernah berada di kemuncak bola sepak tanah air sehingga mengungguli bersiri-siri kejuaraan.

Era tersebut bermula dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2010 selepas menundukkan Negeri Sembilan FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan keputusan 2-1.

kelantan-juara-piala-malaysia-2012

Kelantan FA ketika menjulang Piala Malaysia 2012.

Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus cemerlang di peringkat domestik, termasuk memenangi kejuaraan treble pada 2012.

Ia sememangnya satu momen yang cukup indah dengan ribuan penyokong semestinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan pemain setiap kali beraksi.

Bagaimanapun, konflik pengurusan serta kekurangan dana menyebabkan gergasi Pantai Timur itu tumbang sedikit demi sedikit sebelum akhirnya jatuh ke Liga Perdana pada 2018.

Orang ramai pasti tertanya-tanya bagaimana sebuah pasukan yang pernah setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) mampu merosot ke standard yang cukup rendah dalam beberapa tahun sahaja.

Tambahan pula, dengan kutipan tiket yang dikatakan mencecah jutaan ringgit bagi setiap musim pastinya memberi satu suntikan berbeza buat skuad TRW.

Baru-baru ini, beberapa bekas pemain Kelantan FA pada zaman kegemilangannya sempat berkongsi akan hal itu menerusi siaran langsung TikTok.

WhatsApp Image 2023-05-06 at 14.33.03 (1)

Sesi TikTok Live yang dihadiri enam legenda Kelantan FA satu ketika dahulu.

Antara yang berpeluang memberi pandangannya akan hal itu ialah pertahanan kiri, Zairul Fitree Ishak yang juga lebih dikenali sebagai Roypy.

"Silapnya ketika itu, kita mula berpecah. Kalau ikutkan sebuah pasukan ni, kalau hilang hampir 80 peratus pemain, tidak usahlah bermimpi untuk kembali ke tahap sedia kala," katanya.

Roypy yang beraksi bersama skuad TRW dari 2005 hingga 2006 dan dari 2009 hingga 2017 merupakan antara watak penting di sebalik zaman kegemilangan pasukan itu.

Selain bersama Kelantan FA, dia juga pernah berpeluang merasai zaman kegemilangan Kedah FA yang turut menjulang dua gelaran treble iaitu pada 2007 dan 2008.

Pandangan yang diberikannya itu turut dipersetujui seorang lagi tonggak pasukan, Nor Farhan Muhammad yang juga beberapa tahun mewakili pasukan Pantai Timur tersebut.

"Tapi, pada saya, memang orang seperti tidak suka untuk melihat kita bersama-sama dalam satu pasukan," kata Farhan yang juga dikenali sebagai 'Ben 10' satu ketika dahulu.

Antara lain yang turut bersama dalam sesi TikTok Live itu ialah Daudsu Jamaluddin, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Badhri Radzi serta Rizal Fahmi Rosid.

Usai memenangi gelaran treble pada 2012, sebilangan besar pemain dalam pasukan berkenaan memilih untuk meninggalkan pasukan, termasuk Nurul Azwan Roya dan Shahrul Idlan Talaha yang menyertai JDT.

Selain itu, penjaring terbanyak pasukan, Mohammed Ghaddar yang merupakan import dari Lubnan turut mencari angin baharu apabila menyertai FELDA United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram